MAPN, penyelidik UMT hasil e-Disiplin yang bakal dilaksanakan di seluruh negara
JANGAN terkejut jika ada ibu bapa menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada sekolah memaklumkan kesalahan dan tindakan disiplin dikenakan terhadap anak mereka.
Penghantaran SMS itu antara hasil pelaksanaan pengurusan disiplin murid secara automatik, e-Disiplin, akan dilaksana Kementerian Pelajaran di seluruh negara tidak lama lagi.
Pembangunan sistem pemantauan dan pengawalan disiplin berasaskan teknologi web itu hasil kajian bersama Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional serta penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Terengganu iaitu Mustaffa Man, Md Yazid Mohd Saman, Mohammad Noor Hassan, Fakhrul Adli Mohd Zaki serta Noor Maizura Mohammad Noor.
Mustaffa, berkata e-Disiplin mengandungi enam modul utama iaitu Capaian Sistem, Kemasukan Data; Kesalahan, Merik dan Intervensi; Kemaskini; Penjanaan Analisa dan Laporan; Pemindahan Maklumat dan Backup.
Kelebihannya, katanya, mesra pengguna, membolehkan pertanyaan dibuat secara dalam talian, maklumat terkini, kesediaan data untuk tindakan segera, kemudahan mencetak surat dan borang serta penyediaan laporan dengan segera.
“e-Disiplin membolehkan tugasan rutin seperti cetakan surat amaran dan kemaskini rekod merik kesalahan pelajar dibuat secara automatik.
“Namun, semua proses untuk menjatuhkan hukuman kepada murid bergantung input kes kesalahan yang dimasukkan menerusi sistem dan pengesahan ahli mesyuarat kes disiplin iaitu Setiausaha Disiplin, Pengetua atau Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penyelia serta Guru Kaunseling
“Ia membolehkan pengurusan disiplin murid secara berpusat kerana data disiplin sekolah boleh diakses pejabat pelajaran daerah, jabatan pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mustaffa berkata, e-Disiplin menggunakan kaedah pemarkahan secara automasi bagi mengukur, mengesan dan memantau disiplin murid, selain panduan merangka langkah intervensi atau pemulihan seterusnya.
Pemarkahan e-Disiplin, katanya berasaskan sistem demerit (penalti) diberikan kepada murid yang melakukan kesalahan disiplin, manakala ‘merit’ bagi setiap kebaikan dalam bentuk aktiviti atau kerja amal yang dijalaninya.
“Kerja amal bukan suatu hukuman, sebaliknya aktiviti kesedaran untuk membaiki diri dan berkelakuan baik serta terbatas kepada kegiatan dalam sekolah saja dan tidak melebihi satu jam masa bagi setiap kesalahan disiplin.
“Bagi setiap kesalahan, pemarkahan dibuat setelah siasatan dan pertimbangan dibuat guru disiplin atau guru besar.
“Antara kesalahan disiplin yang diambilkira dalam pemarkahan adalah tingkah laku lucah, vandalisme, tidak amanah, kenakalan, tidak pentingkan masa, kekemasan diri, pembabitan politik, jenayah, penyalahgunaan dadah, buli, merokok dan ponteng,” katanya.
Mustaffa berkata, setelah murid diberi peluang melakukan kerja amal atau menjalani sesi kaunseling, pemarkahan akan dibuat sewajarnya bergantung kepada kekerapan dan keseriusan salah laku berkenaan.
Katanya, sistem akan mengumpul markah secara automatik bagi setiap murid yang direkodkan markah penaltinya ke dalam sistem e-disiplin dan apabila jumlah markah mencapai tahap yang ditetapkan, sistem secara automatik akan mengeluarkan surat amaran sehingga lima kali.
“Sebagai contoh, pertuduhan pertama dikenakan amaran lisan, murid dengan markah kesalahan 20 hingga 30 mendapat amaran pertama hingga akhir sekali tindakan buang sekolah terhadap pelajar dengan markah 100 ke atas,” katanya.
Mustaffa berkata, pelaksanaan projek rintis e-Disiplin yang berasas prinsip ‘merit’ dan ‘demerit’ itu di 116 sekolah menengah seluruh negara membuktikan ia berkesan membendung masalah disiplin daripada menjadi masalah sosial yang sukar ditangani.
“Secara purata, peratusan gejala disiplin pelajar di sekolah yang melaksanakan sistem ini sejak tahun lepas berkurangan sebanyak 22 peratus,” katanya.
Hasil kajian itu, katanya, mendapat pengiktirafan pingat emas sempena Ekspo Teknologi Malaysia serta Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi tahun ini, selain dipamerkan kepada anggota delegasi Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel pada Jun lalu.
Thursday, October 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment