Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Friday, May 28, 2010

SK Munggu Bringgin anjur program tingkatkan akademik pelajar

27 May, 2010

SK Munggu Bringgin anjur program tingkatkan akademik pelajar


Caption: PENGHARGAAN... Andrew (kiri) sedang menyampaikan cenderahati kepada Joseph (kanan) sambil disaksikan oleh Isa (kiri sekali) dan Ului (kanan sekali) ketika berlangsungnya program berkenaan.

PANTU, Rabu (26 Mei) – Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringgin, Pantu telah mengadakan Program Perjumpaan Ibubapa dan Pelajar Bersama Pengetua Cemerlang SMK Sri Aman 2010 di dewan sekolah berkenaan kelmarin.

Program yang bertujuan untuk meningkatkan prestari murid-murid dari segi bidanga akademik ini telah melibatkan para ibubapa dan pelajar Tahap Dua (Tahun 4, 5, dan 6) dari sekolah itu sendiri.

Guru Besar SK Munggu Bringgin, Isa Reff menerusi ucapannya pada program itu berkata Program Perjumpaan Ibubapa dan Pelajar Bersama Pengetua Cemerlang SMK Sri Aman 2010 ini adalah berteraskan National Key Result Areas yang Ke-3 atau NKRA.

“Kita mahu memastikan anak-anak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan kerana rakyat Malaysia perlu berilmu, berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di peringkat dunia pada masa akan datang.

“Justeru diharap agar program ini diharap dapat menjana minda ibubapa dan pelajar tentang betapa pentingnya ilmu dan pelajaran disamping memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang mereka perolehi menerusi program ini,” katanya.

Terdahulu penceramah program merangkap Pengetua Cemerlang SMK Sri Aman iaitu Joseph Junting Resa telah menekankan bahawa ibubapa tidak seharusnya menyandarkan tanggungjawab mendidik anak-anak terhadap para guru ketika mereka di sekolah.

Katanya ibubapa juga boleh memainkan peranan penting dalam menyumbang ke arah peningkatan prestasi akademik anak-anak ketika mereka berada di rumah untuk sepanjang masa.

“Malah saya juga menasihatkan para pelajar untuk sentiasa menanam kepercayaan dan kekentalan dalam diri masing-masing sekiranya mahu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik selepas ini.

“Paling penting sekarang ialah ibubapa dan guru perlu memotivasikan anak-anak untuk berjaya dalam bidang akademik. Mereka adalah pelapis pembangunan negara dan kita haruslah berusaha gigih berhubung perkara berkenaan mulai sekarang,” katanya.

Program Perjumpaan Ibubapa dan Pelajar Bersama Pengetua Cemerlang SMK Sri Aman 2010 turut diselitkand engan tayangan filem pendek dan sesi dialog antara ibubapa bersama pihak penceramah dan pihak sekolah.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru SK Munggu Bringgin, Andrew Sungut dan Penolong Kanan 1 SK Munggu Bringgin, Ului Anyi.

Sunday, May 23, 2010

Program Motivasi Pelajar Tahun 6 (Projek Sekolah Angkat) 21 Mei 2010 - Koleksi 1





Program Motivasi Pelajar Tahun 6 (Projek Sekolah Angkat) 21 Mei 2010 - Koleksi 2





Saturday, May 22, 2010

Sejarah Hari Gawai

Hari Gawai

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Perayaan Gawai secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan masyarakat Sarawak, tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta menuai Gawai Dayak yang disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun.

Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum bumiputera Sarawak, terutamanya Iban dan Dayak. Gawai Dayak merupakan hari menuai dan mula disambut secara besar-besaran semenjak 25 September 1964, apabila Gawai Dayak diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri adalah pada 1 Jun 1965.

Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. [1] [2]

Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964. [3]

Gawai Burung merupakan salah satu perayaaan yang disambut oleh masyarakat Sarawak, terutama masyarakat Iban dan Bidayuh.

Gawai Burong disambut secara besar-besaran dalam sembilan peringkat yang dipecahkan seperti berikut:

  1. ) Gawai Kalingkang
  2. ) Gawai Sandong
  3. ) Gawai Sawi
  4. ) Gawai Salangking
  5. ) Gawai Mulong Merangau or Lemba Bumbun
  6. ) Gawai Gajah Meram
  7. ) Gawai Meligai
  8. ) Gawai Ranyai or Mudur Ruruh
  9. ) Gawai Gerasi Papa

Bagi setiap peringkat gawai burong, tiang yang dikenali sebagai “tiang chandi” dibina, dengan patung burung Kenyalang diletakkan di puncaknya semasa kenduri.

Bahan yang digunakan bagi membina Tiang Chandi adalah seperti berikut:

Bagi Gawai Kalingkang, tiang suci dibina dengan buluh payan, setinggi sembilan kaki tinggi, dengan balang diletakkan pada pertengahan tiang, sebagai bungkong/simpulannya;

Bagi Gawai Sandong, tiang suci dibina dengan pokok Selangking;

Bagi Gawai Selangking atau Lamba Bumbun, tiang suci dibina dengan teras (kah) pokok selangking;

Bagi Gawai Mulong Merangau, tiang suci dibina dengan dahan pokok Durian dan dibengkokkan seperti pokok Sagu tua yang buahnya telah gugur ke bumi;

Bagi Gawai Gajah Meram, tiang suci dibina dengan dahan kukuh dengan dahannya dihiasi dengan tengkorak dan daun kelapa isang;

Bagi Gawai Ranyai atau Mudur Ruruh, tiang suci dibina dengan seberkas lembing pahlawan yang telah digunakan bagi bertempur dengan musuh semasa bertempur;

Dan bagi Gawai Gerasi Papa, tiang suci dibina dengan bentuk mambang pemburu atau antu gerasi papa melengkung di puncaknya.

Sama juga mentera yang dibaca oleh lemambang berbeza pada setiap tahap, tetapi upacara ini secara keseluruhan, mengekalkan asas lakaran kecuali setiap satunya diakhiri dengan ayat berlainan.

Gawai Batu merupakan salah satu perayaaan yang disambut oleh masyarakat Sarawak, terutama masyarakat Iban dan Bidayuh. Ia disambut sebagai perayaan untuk menanda sebagai permulaan musim menanam padi.

Gawai Antu merupakan salah satu perayaaan yang disambut oleh masyarakat Sarawak, terutama masyarakat Iban dan Bidayuh. Ia disambut sebagai perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia.

Gawai Antu merupakan perayaan menraikan mereka yang telah meninggal dikalangan Saribas, Iban Krian. Upacaranya termasuk upacara beburong bagi merasmikan , sebelum diikuti dengan pengorbanan ayam atau ginselan (babi). Ia juga dimeriahkan lagi dengan permainan sabong ayam, persembahan piring dan membaca mentera pengap.

Tujuan upacara ini adalah bagi mendapatkan bantuan pahlawan nenek moyang yang terkenal tanpa mengira bilakah dia mati.[1]

Gawai Bersimpan merupakan salah satu perayaaan yang disambut oleh masyarakat Sarawak, terutama masyarakat Iban dan Bidayuh. Ia disambut sebagai kesyukuran setelah selesai menuai.

Friday, May 21, 2010

PPD Sri Aman anjur majlis ringkas Hari Guru

PPD Sri Aman anjur majlis ringkas Hari Guru


Caption: SELAMAT HARI GURU...Lamat (tengah) ketika bersama pegawai dan kakitangan PPD Sri Aman ketika menyempurnakan upacara memotong kek sempena hari guru.

SRI AMAN, Jumaat (21 Mei) – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman telah mengadakan majlis ringkas untuk meraikan sambutan Perayaan Hari Guru Ke-39 bertempat di Bilik Mesyuarat Tiang Laju, PPD Sri Aman kelmarin.

Majlis ringkas sempena sambutan perayaan Hari Guru ini diadakan sebaik sahaja selesai mesyuarat bulanan yang berlangsung di bilik mesyuarat PPD Sri Aman tersebut sekitar jam 11 pagi.

Menerusi majlis berkenaan pihak PPD Sri Aman telah menyampaikan cenderahati kepada beberapa orang kakitangan PPD Sri Aman yang bakal bersara dari perkhidmatan masing-masing selepas ini.

Mereka adalah Suhaili Amad (Ketua Pembantu Tadbir Unit Pengurusan Kewangan), Amir Arshad (Ketua Pembantu Tadbir Unit Penilaian dan Peperiksaan), Ting Chong Lin (Pembantu Tadbir Rendah Unit Penilaian dan Peperiksaan) dan Mohd Afandi Suhaili (Pekerja Rendah Awam Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian).

Penyampaian cenderamata kepada empat orang kakitangan PPD Sri Aman yang bakal bersara selepas ini telah disempurnakan oleh Pegawai PPD Sri Aman, Walter Lamat Kiyai.

Majlis juga turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada Pegawai Akauntan iaitu Norlia Norni yang akan berpindah ke Bintulu selepas ini disamping pemberian hadiah ulangtahun kepada beberapa orang pegawai di PPD Sri Aman ini.

Kemuncak majlis ringkas ini ialah upacara pemotongan kek perayaan Hari Guru Ke-39 yang membabitkan semua pegawai dan kakitangan PPD Sri Aman pada penghujung program berkenaan.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai PPD Sri Aman, Haji Abdul Rahman Muhayuddin, Pegawai Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Sri Aman, Menjang Nia, Penyelia unit Organisasi, Munau Bong Sang, Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan, Goh Kaw Sze dan Penolong Penyelia Unit Pengurusan Sekolah, Roseder Ringkai.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/05/ppd-sri-aman-anjur-majlis-ringkas-hari.html

TBS bantu anak fakir miskin masuk U - Shamsul

TBS bantu anak fakir miskin masuk U - Shamsul


Caption: MANFAATKAN...Shamsul (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima (kiri) ketika berlangsungnya program terbabit.

LINGGA, Jumaat (21 Mei) – Kecemerlangan dalam pelajaran dikalangan diri pelajar secara tidak langsung akan berupaya mengubah taraf hidup dan gaya kehidupan keluarga masing-masing di masa akan datang.

Justeru Ketua Cawangan TBS Sri Aman, Shamshul Bahri Manap menggalakkan anak-anak dari golongan fakir miskin supaya memohon borang Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang disediakan di pejabat TBS yang terdekat selepas ini.

“Mereka juga boleh mengisi borang secara online menerusi lawan sesawang TBS Sarawak iaitu http://www.tbs.org.my/ sekiranya mahu memohon kemasukan ke IPT dalam negara ini.

“Usaha merupakan komitmen penting pihak TBS yang sering memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pelajaran anak-anak terutama sekali golongan fakir miskin demi kesenangan hidup mereka di masa akan datang,” katanya.

Shamshul berkata demikian ketika berucap ringkas pada Majlis Penyampaian Bantuan Peralatan Murid-Murid Sekolah dan Sarahidup Fakir Miskin TBS cawangan Sri Aman di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku dalam daerah kecil Lingga, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu katanya TBS turut berusaha menyedarkan masyarakat Islam akan kepentingan berzakat agar bantuan dapat diperluaskan lagi bagi tujuan manfaat asnaf-asnaf yang memerlukan.

Terdahulu TBS cawangan Sri Aman telah menghulurkan bantuan peralatan persekolahan kepada murid fakir miskin di SK Pulau Seduku sebagai galakan untuk mereka di samping meringankan beban ibubapa pelajar sekolah terbabit.

Pada masa yang sama bantuan sara hidup juga turut dihulurkan untuk keluarga dan individu di Kampung Pulau Seduku yang kesempitan hidup terutama sekali yang berkaitan dengan masalah keperluan asas.

Program anjuran bersama pihak Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman yang diwakili oleh Naqib Bahagain Sri Aman iaitu Ustaz Haji Isselahuddin bin Kameri juga turut memberi rangka taklimat khas kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid Kampung Pulau Seduku berhubung tatacara pengurusan masjid yang lebih efisien dan telus.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Pulau Seduku, Sepian bin Abg Daud, Ketua Kampung Pulau Seduku; Salleh bin Jon, para guru, kakitangan awam sekolah dan penduduk dari sekitar kawasan berkenaan.

http://sriamannews.blogspot.com/

SK Abok juara Terbuka Takraw Karnival Sukan Hari Guru Sri Aman, SMK Engkilili juara veteran

21 May, 2010

SK Abok juara Terbuka Takraw Karnival Sukan Hari Guru Sri Aman, SMK Engkilili juara veteran




Caption:

1. KAMI JUARA...Timbalan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman, Haji Abdul Rahman Muhayuddin (berdiri dua kiri) bergambar kenangan bersama pasukan juara terbuka dan veteran sebaik sahaja tamat pertandingan terbabit.

2. PASUKAN TERBAIK...Pasukan Up Brother Up dinobatkan sebagai pasukan terbaik bagi pertandingan tersebut.

- 21 Mei


Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Abok dari Pantu muncul juara bagi Kategori Terbuka Pertandingan Sepak Takraw Karnival Sukan Sempena Hari Guru peringkat Daerah Sri Aman 2010 baru-baru ini.


SK Abok yang dianggotai oleh Saiful Baha, Mas Haiziel Mas Mahmud, Safie Yaakup dan Keleman (pemain gantian) telah menewaskan pasukan SMK Engkilili dengan kemenangan set 2-0 pada aksi final perlawanan kategori terbabit bertempat Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman.


Pasukan juara telah beraksi cemerlang pada perlawanan peringkat kumpulan dengan menewaskan pasukan SK Entalau (2-0), SK Engkeranji (2-0), SK Kem Pakit (2-0) dan SK Nanga Kumpang B (2-1) sebelum mara ke pusingan ke-2 iaitu Fasa Knock Out.


Pada perlawanan Fasa Knock Out ini, pasukan SK Abok telah berjaya menumpaskan pasukan SK Nanga Kumpang C dengan kemenangan set 2-0 sebelum mara ke pusingan separuh akhir perlawanan untuk menentang pasukan SK Nanga Kumpang A.


Pasukan SK Nanga Kumpang A tewas 0-2 ditangan pasukan SK Abok. Kemenangan ini membolehkan pasukan SK Abok menentang SMK Engkilili pada aksi final bagi kategori terbabit.


Sementara itu pasukan SMK Engkilili yang dianggotai oleh Mohd. Othman Jaini, Balqis Naneng, Wan Shamsu dan Maharip (pemain gantian) muncul juara bagi kategori veteran setelah berjaya menewaskan pasukan Zon Lingga dengan kemenangan set 2-0.


Kemenangan SMK Engkilili pada aksi final di stadium berkenaan sekaligus meletakkan pasukan Zon Lingga di kedudukan naib juara sambil diikuti oleh pasukan PEDAS, Up Brother Up dan Joke Miaw yang berada di kedudukan tempat ke-3, ke-4 dan ke-5 bagi kategori berkenaan.


Terdahulu sejumlah 17 buah pasukan telah mengambil bahagian dalam Kategori Terbuka Pertandingan Sepak Takraw Karnival Sukan Sempena Hari Guru peringkat Daerah Sri Aman 2010 ini manakalal lima buah pasukan lagi berentap untuk merebut kejuaran bagi kategori veteran.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/05/sk-abok-juara-terbuka-takraw-karnival.html

Thursday, May 20, 2010

Hargai pengorbanan guru - Isa Reff

Keratan Akhbar Utusan Sarawak

Hargai pengorbanan guru - Isa Reff


Caption: SELAMAT HARI GURU...Isa (tengah) bersama guru dan kakitangan sokongan SK Munggu Bringgin ketika memotong kek sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.


PANTU, Rabu (19 Mei) – Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringgin, Pantu telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah bertempat di dewan sekolah berkenaan pada 17 Mei lepas.


Majlis sempena Sambutan Hari Guru Ke-39 yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu telah melibatkan semua guru, kakitangan sokongan, pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan murid sekolah berkenaan.


Acara dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar SK Munggu Bringgin iaitu Isa Reff sambil diikuti oleh ucapan daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Menteri Pelajaran Malaysia yang dibacakan oleh dua orang guru sekolah berkenaan.


Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah SK Munggu Bringgin ini kemudiannya diteruskan lagi dengan persembahan nyanyian lagu Hari Gulu, upacara lafazan ikrar sempena Hari Guru dan acara potong kek sempena majlis berkenaan.


Isa ketika ditemui pada majlis itu menjelaskan bahawa tujuan majlis ini diadakan untuk menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi),


“Majlis sambutan hari guru di sini juga bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan semua guru SK Munggu Bringgin dalam menyumbang ke arah pembangunan negara dan khidmat masing-masing terhadap rakyat.


“Justeru diharap agar majlis ini dapat menarik perhatian orang ramai khasnya ibubapa dan murid tengang peranan penting kaum guru dalam mendidik dan mengangkat martabat pendidikan rakyat dalam negara ini,” katanya.


Selain itu majlis ini kata Isa juga dapat memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibah dikalangan guru disamping memberi peluang untuk memajukan kecekapan mereka menerusi seminar dan persidangan yang diadakan pada majlis itu.


”Pihak kita menerusi majlis itu juga mahu menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia disamping mengambil langkah penting untuk menjadikan peranan itu lebih berkesan,” katanya.

Tamat.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/05/hargai-pengorbanan-guru-isa-reff.html

Kenaikan Pangkat bagi dg44 dan dg48 akan diuruskan oleh Kementerian Pelajaran

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan ganjaran kewangan bersempena sambutan Hari Guru hari ini kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.

Muhyiddin berkata mereka yang mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan bakal mendapat imbuhan wang tunai antara RM900 hingga RM7,500 mulai tahun ini.

"Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.

"Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500, lima peratus guru-guru (terbaik) sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru-guru selebihnya lagi akan menerima RM900," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, di Kuantan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ganjaran kewangan itu merupakan satu suntikan baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan gigih lagi bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan pelajar.

Muhyiddin berkata ganjaran kewangan itu tidak terbatas hanya sekali sahaja untuk setiap sekolah: "Kalau sekolah itu meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, ia akan dapat lagi ganjaran itu,".

Beliau berkata ganjaran kewangan itu akan diteruskan setiap tahun dan bagi tahun ini, pencapaian setiap sekolah akan dinilai selepas keputusan peperiksaan, sebelum ganjaran itu diberikan kepada mereka yang layak.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyidin turut mengumumkan beberapa inisiatif lain kepada golongan pendidik.

Antaranya, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,269 kenaikan pangkat bagi pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau bukan siswazah sehingga April 2010 ini.

"Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah bersetuju supaya kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran," kata Muhyiddin.

Beliau berkata Pegawai Perkhidmatan Siswazah yang memperoleh ijazah doktor falsafah juga akan menikmati kenaikan satu gred sekiranya memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang menimbangkan pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian yang lebih baik kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan.

Ditanya mengenai syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru, Muhyiddin berkata beberapa syor jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Beberapa perkara yang saya sebutkan (dalam ucapan) akan dilaksanakan seberapa segera, itu antara sebahagian daripada perkara yang dikenalpasti jawatankuasa berkenaan," kata Muhyiddin.

Antara syor yang dikemukakan jwatankuasa berkenaan yang akan dilaksanakan segera antaranya, mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar.

"Pada masa ini terdapat sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kebersihan, keceriaan, keselamatan dan sebagainya.

"Pengecilan jumlah jawatankuasa akan dapat mengurangkan bebanan guru dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki," katan Muhyiddin.

Syor lain ialah mengkaji bilangan peperiksaan di sekolah dan ujian di peringkat sekolah yang dilihat terlalu banyak, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah dan penyediaan kurusus-kursus yang bersesuaian untuk golongan pendidik.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi.

- Bernama

Dasar MBMMBI tetap diteruskan tahun depan

Dasar MBMMBI tetap diteruskan tahun depan: Muhyiddin

Berita terkini dari Berita Harian

2010/05/17
PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang dijangka bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika perubahan dilakukan, akan menimbulkan banyak masalah dan menunjukkan kerajaan tidak konsisten daripada segi dasar. "Kita mahu ibu bapa memberi peluang kepada kementerian untuk melaksanakan dasar itu terutama daripada segi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana itu antara perkara yang menjadi perhatian," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan sesetengah sekolah termasuk ibu bapa untuk meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Pada 25 November tahun lalu, Muhyiddin berkata, dasar MBMMBI akan mula dilaksanakan pada 2011, iaitu setahun lebih awal daripada yang dijadual.

Menerusi dasar itu, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil selepas memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Kerajaan turut mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan mengumumkan pelbagai langkah transformasi untuk mengukuhkan bahasa Inggeris, seperti menambah jadual waktu pembelajaran bahasa tersebut termasuk pengambilan tenaga terlatih dalam bidang itu bagi membimbing pelajar atau tenaga pengajar.

"Cara pengajaran bahasa Inggeris juga akan disampaikan dengan cara lebih menyeronokkan. Kita telah pun membuat ujian dan kita lihat (hasilnya) amat baik," katanya. Beliau berkata, buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia bagi tahun pertama pelaksanaan dasar itu juga telah siap.

Katanya, secara keseluruhan, persiapan bagi pelaksanaan program itu kini berada di peringkat akhir. "Saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia. Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan," katanya. - Bernama

25 setiap kelas

25 setiap kelas
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/05/18


KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.

“Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.
Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.

Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.

Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.

Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.


Salah satu langkah yang baik untuk mengurangkan beban tugas guru. Bagaimana dengan pendapat cikgu-cikgu semua?

6 Strategi laksana Dasar 1Murid 1Sukan

JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi selaras pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan mulai tahun depan, bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar berkenaan akan turut memfokuskan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dengan penyertaan seorang murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sepanjang tahun itu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan beliau sudah mengadakan mesyuarat sebelum ini dan memutus akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar itu.
“Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan.

“Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 di Stadium Larkin di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, selaras transformasi pendidikan, sudah sampai masa kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif dalam mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan.

“Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan.
“Dengan ini, pandangan mengatakan kementerian terlalu menumpu bidang akademik saja dapat disangkal dan ditangani,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online (19 Mei 2010)

Guru sejati tidak harapkan ganjaran, insentif

Guru sejati tidak harapkan ganjaran, insentif
WAN MARZUKI WAN RAMLI
Pasir Mas, Kelantan
SUMBER UTUSAN MALAYSIA
19 MEI 2010


SELAIN mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ahad lalu turut menawarkan wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang guru jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Menurut beliau, wang ganjaran tersebut merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik supaya mengutamakan pencapaian dan keberhasilan sekolah masing-masing. Bagi pihak guru, apa jua bentuk insentif yang telah dan akan diberi kepada warga pendidik perlulah dilihat sebagai penghargaan yang tinggi daripada pihak kerajaan atas bakti yang dicurah. Guru sejati sebenarnya tidak pernah mengharapkan insentif semata-mata kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul tidak dapat diukur dengan nilaian ringgit yang diterima.

Justeru, bukan sekadar menerima imbuhan dan intentif, semua insan bergelar guru perlulah menjelmakan ketekunan sebagai pendidik cemerlang dengan iltizam yang lebih tinggi sejajar dengan penghargaan yang diberikan kerajaan. Keprihatinan pihak kerajaan terhadap usaha pembinaan modal insan ini sewajarnya diambil kesempatan oleh seluruh warga pendidik untuk bermuhasabah dengan amanah berat yang dipikul bagi melunaskan keilmuan pendidikan yang diterima. Sesekali renung dan hayatilah hakikat diri kita sebagai 'cikgu' mengikut beberapa peranan berikut:

Pertamanya, guru sebagai muaddib dan pembimbing: Guru bertanggungjawab menyelia dan mengawal disiplin, penyubur sifat terpuji dan mementingkan kerohanian anak-anak didik sendiri.

Kedua, guru sebagai idola para pelajar: Guru perlu sentiasa bertingkah laku sopan, bersifat intelek, ini kerana pada mata masyarakat, guru sebenarnya dianggap golongan cendekiawan yang berkemampuan membawa reformasi mental dalam kehidupan seharian.

Ketiga, guru sebagai pelajar: Guru perlu sentiasa peka dan bersedia mereformasi diri pada alaf ini dan akan datang. Pelbagai disiplin ilmu bantu perlu diterokai dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, bukan setakat meningkatkan profesionalisme kerja, tetapi juga untuk mempelbagaikan metod dan kreativiti di bilik darjah.

Keempat, guru sebagai rakan sejawat: Hubungan sesama guru adalah adalah dalam konteks suatu rumpun keluarga di bawah satu bumbung ilmu. Sebagai akar dan umbi yang saling bertaut, kerjaya seorang pendidikan tidak seharusnya diselaputi syak wasangka, pentingkan diri sendiri, pesimis atau saling salah menyalahkan antara satu sama lain.

Kelima, guru sebagai penunjuk pandu: Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan guru bagi memberi didikan semaksimum mungkin kepada anak-anak mereka. Potensi diri seseorang yang telah memilih kerjaya sebagai seorang guru sebenarnya mampu menjelmakan hasrat murni tersebut tetapi perlulah dilampir dengan dengan keikhlasan dan iltizam yang ampuh.

Dan keenam, guru sebagai manusia biasa: Sanjungan dan tingginya harapan seluruh komuniti masyarakat terhadap guru tetap tidak dapat merubah hakikat diri bahawa guru juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau keterlanjuran.

Justeru, tidak timbul soal insentif yang diberi menjadi sebagai daya tarikan kerana seluruh warga pendidik sewajarnya memiliki sifat 'kerja guru dikelek, tetapi kerja-kerja sampingan lain pula dijunjung'. Sekiranya disertakan sifat jujur dan ikhlas, visi dan misi pendidikan negara pasti akan dapat dijayakan dengan cemerlang. Keutuhan peribadi, luas pengetahuan, kreatif dan berkemahiran, bijak berkominukasi, kerja berkualiti dan prestasi yang tidak pernah statik akan menjadikan seluruh warga guru Malaysia sebagai pendidik cemerlang walaupun tanpa pemberian pelbagai bentuk insentif dan ganjaran.

Pengetua, Guru Besar tidak cekap

Pengetua, Guru Besar tidak cekap
ADNAN IDRIS
Permatang Pauh, Pulau Pinang
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 19 MEI 2010


Akhir-akhir ini sering dipaparkan di dada akhbar mengenai beban tugas guru yang semakin bertambah. Ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa Kementerian Pelajaran dan pucuk pimpinan kerajaan adalah punca segala-galanya. Hakikat ini tidaklah benar semuanya. Ini kerana setiap arahan mahu pun sesuatu bidang tugas yang diturunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah lazimnya melalui pelbagai peringkat kajian atas kewajaran sesuatu tugas itu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah. Beban tugas yang semakin berat dan bertambah seringkali datang dari kerenah Pengetua dan Guru Besar itu sendiri yang tidak cekap dalam memimpin guru-guru di sekolah. Perlu disedari bahawa bukan semua guru merasa terbeban dengan tugas yang kononnya makin bertambah kini. Sebaliknya bebanan tugas ini timbul di sekolah yang dipimpin oleh golongan Pengetua dan Guru Besar yang tidak memiliki kemahiran memimpin dunia pendidikan dengan ertikata yang sebenar. Mengambil contoh, rungutan bahawa guru kini dibebani tugas perkeranian dan pelbagai lagi tugas pendokumentasian. Dalam hal ini Pengetua dan Guru Besar yang harus dipersalahkan kerana mereka yang tidak bijak menghalakan tugas-tugas seperti perkeranian, pungutan data dan pendokumentasian sesuatu dokumen.

Mereka lebih terarah untuk mengarahkan guru-guru melakukan tugas-tugas seperti ini kerana apabila diberikan tanggunjawab ini kepada guru, ia akan selesai dengan baik kerana nilai kecekapan dan kebertanggungjawaban guru adalah tinggi dengan anggapan bahawa sesuatu tugas itu akan selesai dengan baik tanpa risiko kegagalan. Malahan ditambah pula sikap sesetengah Pengetua dan Guru Besar yang meletakkan keutamaan cita-cita peribadi mengatasi kemampuan dan kesediaan organisasi itu sendiri. Maka akan terjadilah guru terpaksa bertugas saban Sabtu tanpa cuti. Guru-guru terpaksa akur kerana di akhir tahun risau akan penilaian Pengetua dan Guru Besar. Dakwat pena Pengetua dan Guru Besar lebih hitam di saat-saat sebegini.Guru-guru seringkali lebih tertekan dan terbeban seandainya organisasi mereka dipimpin oleh Pengetua mahupun Guru Besar yang buta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana semua dokumen perlu disediakan dalam tulisan tangan yang sudah semakin ketinggalan kini. Ini termasuklah terpaksa menyediakan rancangan pengajaran berulangkali dalam sehari sedangkan KPM telah menyediakannnya dengan lengkap segala isi dan huraiannya sekali.

Oleh itu seluruh warga KPM, Kesatuan Guru dan warga pendidik harus merenungi hakikat beban guru yang menjadi sebutan di saat ini. Walaupun pelbagai jawatankuasa ditubuhkan namun semua cadangan tidak terlaksana sehingga ke saat ini.

SK Munggu Bringin anjur gotong royong sempena Hari Guru

18 May, 2010

SK Munggu Bringin anjur gotong royong sempena Hari Guru


Caption: KERJASAMA...Ibubapa murid dan guru SK Munggu Bringgin ketika membersihkan kawasan sekolah sempena sambutan Hari Guru 2010.

PANTU, Selasa (18 Mei) – Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringin, Pantu telah memeriahkan suasana sambutan Hari Guru yang Ke-39 Tahun dalam daerah ini apabila menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana di sekolah berkenaan kelmarin.

Jurucakap penganjur ketika ditemui kelmarin menjelaskan bahawa Program Gotong-Royong Perdana di SK Munggu Bringin ini telah dilaksanakan atas kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia.

SK Munggu Bringin telah mengadakan satu program Gotong-royong Perdana Sempena Hari Guru yang ke 39 tahun. Program gotong-royong perdana ini dilaksanakan di atas kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Gotong-royong perdana membawa maksud aktiviti yang dilakukan secara serentak di semua sekolah dalam Malaysia sebagai pengisian dalam sambutan perayaan Hari Guru pada setiap tahun.

“Menerusi program ini pihak sekolah telah bertindak membersihkan kawasan sekitar sekolah termasuk lokasi yang boleh berpotensi untuk menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.


Pihak sekolah menerusi program ini katanya juga turut membersihkan tempat yang merbahaya kepada murid disamping menanam pokok bunga, membersihkan kelas, dapur, dewan makan, asrama putera, asrama puteri, tandas dan sebagainya.

“Pihak SK Munggu Bringgin merasa amat gembira dengan kehadiran yang ditunjukkan oleh ibubapa murid dalam menjayakan perlaksanaan Program Gotong-Royong Perdana di sini.

“Justeru diharap agar ibubapa murid dan guru SK Munggu Bringgin dapat mengekalkan hubungan kerjasama seperti ini demi mempertingkatkan prestasi akademik murid di masa akan datang,” katanya.

Perkhemahan Perdana Kadet Remaja di SMK Sri Aman

17 May, 2010

Perkhemahan Perdana Kadet Remaja di SMK Sri Aman

SRI AMAN, Isnin (17 Mei) – Sri Aman akan menjadi tuan rumah kepada penganjuran Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2010 bermula 21 hingga 25 Mei ini kelak.

Kenyataan dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman memberitahu Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2010 ini nanti diadakan di tapak perkhemahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman.

“Setiap Bahagian dalam negeri ini akan menghantar seramai 22 orang (11 laki dan 1 wanita) Kadet Remaja bersama dua orang guru pengiring ketika berlangsungnya Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2010 ini kelak.

“Justeru diharap agar perkhemahan ini nanti dapat menghimpunkan semua kadet dalam memantapkan lagi kebolehan peserta ketika melakukan pelbagai aktiviti perkhemahan bermula 21 hingga 25 Mei kelak,” katanya.

Program ini menurut kenyataan itu lagi juga bertujuan untuk memilih seramai 30 orang kadet remaja bagi mewakili Sarawak ke program Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2010 di Negeri Sembilan bermula 26 hingga 29 Jun ini nanti.

Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi menjayakan Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2010 yang akan berlangsung selama lima hari ini nanti.

Antaranya ialah taklimat dan agigahan kumpulan, kem kraf kumpulan, taklimat penyelarasan perkhemahan dan sesi pecah bendung, pemakaian pangkat / pakaian, sukaneka, aktiviti pangkalan, penilaian kem kraf dan lay-out, pertandingan membina gajet, ikhtiar hidup, masakan rimba dan persembahan malam kebudayaan.

Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2010 ini nanti akan dirasmikan oleh Pegawai PPD Sri Aman, Walter Lamat Kiyai pada 24 Mei kelak.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/05/perkhemahan-perdana-kadet-remaja-di-smk.html

Karnival Sukan Hari Guru 14 Mei - 11 Julai

16 May, 2010

Karnival Sukan Hari Guru 14 Mei - 11 Julai

SRI AMAN, Jumaat (14 Mei) – Majlis Sukan Guru Besar Daerah Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Daerah Sri Aman akan menganjurkan Karnival Sukan Hari Guru 2010 di lima buah tempat dalam bandar ini bermula 14 Mei hingga 11 Julai kelak.

Jurucakap penganjur ketika dihubungi berkata sejumlah enam buah aktiviti akan diadakan menerusi karnival sukan bersempena dengan sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Daerah Sri Aman ini nanti.

Enam buah aktiviti berkenaan adalah Pertandingan Sepak Takraw, Petanque, Badminton, Tennis, Futsal dan Jamuan sempena dengan Malam Anugerah Sukan Hari Guru Peringkat Peringkat Daerah Sri Aman 2010.

“Pertandingan Sepak Takraw merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan hari guru di sini. Ia akan berlangsung dari 14 hingga 16 Mei di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman sambil diselaras oleh Isa Reff dan Musa Haji Tuah.

“Manakala itu Pertandingan Petanque yang diselaras oleh Iman Haji Joni dan Muhamad Fuad Augustine pula akan bermula dari 22 hingga 23 Mei bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak, Sri Aman,” katanya.

Pertandingan Badminton sempena sambutan ini yang dikendalikan oleh Leonard Libau dan Chieng Chong Ing pula akan bermula dari 26 hingga 27 Jun bertempat di Kompleks Sukan Sri Aman dan Dewan Serbaguna Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman.

“Dua buah lagi acara iaitu Pertandingan Tennis dan Futsal akan berlangsung di Gelanggang Tenis Sri Aman dan Mini Stadium Sri Aman. Pertandingan Tennis yang dikendalikan oleh Abdul Rahman Narawi akan bermula dari 3 hingga 4 Julai.

“Sementara itu Pertandingan Futsal yang dikendalikan oleh Louis Aom dan Daniel Suboh pula akan bermula dari 10 hingga 11 Julai di Mini Stadium Sri Aman. Acara kemuncaknya Jamuan sempena dengan Malam Anugerah Sukan Hari Guru Peringkat Peringkat Daerah Sri Aman 2010 akan diadakan pada 24 Julai ini nanti,” katanya.

Justeru Karnival Sukan Hari Guru 2010 ini nanti katanya diharap agar dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara warga pendidik dari seluruh kawasan daerah Sri Aman menerusi penganjuran pertandingan terbabit.

“Malahan diharap agar karnival terbabit dapat memupuk semangat muhibbah dikalangan warga pendidik dan seterusnya memperkasakan lagi Konsep 1Malaysia melalui tema hari guru Tahun 2010 :Guru Pembina Negara Bangsa,” katanya.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/05/karnival-sukan-hari-guru-14-mei-11.html

Pesta Pantu 28 Mei - 30 Mei

17 May, 2010

Pesta Pantu 28 Mei - 30 Mei

SRI AMAN, Jumaat (14 Mei) – Pekan Pantu yang terletak kira-kira 56 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman bakal dimeriahkan dengan penganjuran Pesta Pantu 2010 bermula 28 hingga 30 Mei ini nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan ketika dihubungi berkata Pesta Pantu 2010 ini nanti adalah merupakan kesinambungan dari penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu yang diadakan pada tahun lepas.
“Pesta kali ini bertukar nama dari Pesta Ikan Tapah kepada Pesta Pantu. Tujuannya adalah untuk membolehkan kawasan daerah kecil Pantu, Sri Aman dipromosi ke peringkat lebih tinggi selepas ini.
“Justeru diharap agar Pesta Pantu ini kelak dapat mengangkat status ekonomi di kawasan Pantu pada masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa pelbagai acara telah dirangka untuk menyerikan suasana sambutan pesta itu nanti.
Antara acara yang bakal diselitkan dalam sambutan Pesta Pantu 2010 ini nanti adalah Pertandingan Karaoke Terbuka, Ratu Etnik Pantu, Persembahan Kebudayaan, Larian Cross Country dan sebagainya.
“Dianggarkan sejumlah RM50,000 diperlukan bagi menjayakan sambutan Pesta Pantu 2010 yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Pekan Pantu bermula dari tarikh yang dinyatakan.
“Nasihat saya kepada pengunjung ialah agar tidak melepaskan peluang untuk pergi ke Pekan Pantu bagi menyaksikan pelbagai acara menarik yang akan diadakan di situ pada Pesta Pantu ini nanti,” katanya.
Snowdan juga menambah bahawa tarikh 28 hingga 30 Mei telah dipilih bagi tujuan penganjuran Pesta Pantu bagi mengalakkan kedatangan lebih ramai pengunjung ketika musim sambutan Gawai Dayak ini nanti.
“Berdasarkan kepada faktor cuti Gawai ini nanti maka pihak kami telah mensasarkan kedatangan sejumlah 5,000 hingga 7,000 pengunjung ketika berlangsungnya sambutan Pesta Pantu 2010,” menurut beliau.
Terdahulu orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan yang dinyatakan di atas boleh mendapatkan borang pertandingan di Pejabat Daerah Kecil Pantu, SJK (C) Chung Hua Pantu dan Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman mulai sekarang.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/05/pesta-pantu-28-mei-30-mei.html

Pasar Pantu 2010 - Koleksi 1





Pasar Pantu 2010 - Koleksi 2





Pasar Pantu 2010 - Koleksi 3



Lawatan Percambahan Ilmu dari SK Selanajn - 19 Mei 2010


Monday, May 17, 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat SK Munggu Bringin 2010 (17 Mei 2010) I





Sambutan Hari Guru Peringkat SK Munggu Bringin 2010 (17 Mei 2010) II





Sambutan Hari Guru Peringkat SK Munggu Bringin 2010 (17 Mei 2010) III





Sambutan Hari Guru Peringkat SK Munggu Bringin 2010 (17 Mei 2010) IV