Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Thursday, October 1, 2009

Lelaki kena baham buaya depan isteri (01.10.2009)

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

hifzuddin@bharian.com.my

SRI AMAN: Seorang isteri hanya mampu menjerit melihat suaminya disambar buaya ketika mereka bersama seorang anak perempuan mandi di Sungai Skrang, dekat Rambai, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Debeline Nyambong, 50, dari rumah panjang Dukun, mandi di sungai berkenaan selepas pulang dari kebun.

Mangsa sempat memaklumkan kakinya seperti ditarik. Bimbang keselamatan isteri dan anak perempuannya, dia mengarahkan mereka naik ke tebing sungai secepat mungkin.


Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohammad, berkata mangsa cuba melepaskan diri, namun buaya menariknya ke tengah sungai yang mungkin menyebabkan dia lemas.


“Isteri mangsa yang ketakutan memaklumkan kejadian kepada penduduk yang kemudian melaporkannya ke balai polis sebelum operasi mencari mangsa dimulakan.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 1 tengah hari semalam tidak jauh dari tempat dia diserang buaya dengan kesan koyakan dan gigitan pada tubuhnya,” katanya di sini, semalam.

Perut mangsa terkoyak dipercayai digigit reptilia ganas berkenaan selain kesan gigitan pada kakinya.


Mat Jusoh berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman bagi bedah siasat dan usaha menangkap buaya sepanjang empat meter yang menyerangnya dilakukan kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC), bermula semalam.

“Penduduk rumah panjang dan kampung di sungai itu diminta berhati-hati terutama ketika mandi kerana SFC mengesyaki buaya sama menyerang tiga mangsa lain sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Emak Simon, 49, berkata, dia menarik perahu tidak jauh dari pasangan itu mandi sebelum mendengar jeritan mangsa memberitahu kakinya ditarik sesuatu.

“Kejadian berlaku terlalu cepat. Saya turut berlari bimbang diserang buaya sebelum melihat Debeline hilang di tengah sungai,” katanya.

0 ulasan:

Post a Comment