Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Tuesday, October 13, 2009

CERITA MORAL

MORAL 1

ANJING DENGAN BANGAU

Bangau berkawan baik dengan anjing. Setiap hari, mereka bermain bersama-sama.Pada suatu hari, bangau mengajak anjing pergi ke rumahnya. Bangau menghidangkan makanan. Tetapi anjing tidak dapat makan.

Bekas itu bermuncung panjang. Anjing tidak dapat mengambil makanan di dalam bekas itu. Bangau boleh makan kerana paruhnya panjang. Bangau makan sehingga kenyang. Anjing pulang dengan perut lapar.

Pada hari yang lain, anjing mengajak bangau pergi ke rumahnya pula. Anjing menghidangkan makanan. Tetapi bangau tidak dapat makan.
Bekas itu leper. Bangau tidak pandai mengambil makanan di dalam bekas leper.Anjing makan sehingga kenyang. Bangau pulang dengan perut lapar.

NILAI MURNI
Setiap perbuatan buruk pasti akan menerima balasan buruk. Oleh itu, kita mestilah sentiasa berbuat baik.

cerita ini sesuai untuk nilai hemah tinggi , tahap 1.

MORAL 2

arnab bersama kura-kura

Pada suatu hari, arnab keluar bersiar-siar. Arnab ternampak kura-kura. Kura-kura sedang merangkak perlahan-lahan

"Ha! Ha! Ha!" arnab ketawa.
"Kura-kura berjalan sangat perlahan," kata arnab dalam hatinya.


Arnab segera pergi berjumpa kura-kura.

"Wahai kura-kura, mahukah engkau berlumba lari denganku?" arnab bertanya.

"Ya, baiklah! Aku bersetuju," jawab kura-kura.

"Satu, dua, tiga!" arnab membilang.

Perlumbaan pun bermula.
Arnab berlari kencang. Kura-kura merangkak perlahan.

Di pertengahan jalan, arnab berehat di bawah sebatang pokok. Kemudian, arnab tertidur.

Kura-kura terus merangkak. Akhirnya, kura-kura sampai di garisan penamat.

Arnab terjaga daripada tidurnya. Arnab terus berlari kencang. Tetapi kura-kura sudah berada di garisan penamat.

Arnab kalah dalam perlumbaan itu. Arnab berasa malu.

NILAI MURNI
Jangan sekali-kali memandang rendah terhadap orang yang lemah atau miskin. Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing.

cerita ini.. sesuai untuk nilai hemah tinggi juga.. Smiley

MORAL 3

Sang Bangau Menipu Ikan.

Di tepi hutan terdapat sebuah kolam. Airnya sudah hampir kering. Semua ikan berasa susah hati.

Pada suatu hari, datang seekor burung bangau. Bangau berpura-pura mahu menolong ikan.

"Kamu semua boleh berpindah ke kolam lain. Kolam itu tidak kering," kata bangau.

Semua ikan bersetuju. Mereka sangat gembira.

Bangau menolong ikan berpindah dari situ. Seekor demi seekor ikan itu dibawanya pergi. Tetapi semua ikan itu dimakannya.

Kemudian tibalah giliran ketam untuk berpindah. Ketam itu dibawa pergi oleh bangau.

Terkejutlah ketam apabila melihat tulang ikan. Ketam tahu bangau itu penipu.

Bangau mahu makan ketam pula. Tetapi ketam segera menyepit leher bangau. Matilah bangau itu.

NILAI MURNI

Jangan sekali-kali berbuat jahat. Setiap perbuatan jahat pasti akan menerima balasan buruk daripada Tuhan.

MORAL 4

Sang Merak dengan Sang Arnab

Arnab sangat risau kerana ekornya pendek. Arnab ingin benar ekornya panjang dan cantik.

Arnab mahu ekornya seperti ekor merak. Ekor merak panjang dan cantik. Semua manusia memuji kecantikan ekor merak.

Pada suatu hari, arnab berjumpa dengan merak. Arnab memuji kecantikan merak. Merak berasa bangga kerana dapat pujian.

Merak mengembangkan ekornya. Ekornya sangat cantik. Arnab terus memuji kecantikan merak.

Namun, arnab memuji merak kerana ada tujuan lain. Arnab ingin meminjam ekor merak. Merak bersetuju meminjamkan ekornya kepada arnab.

Merak membuat pertukaran ekor dengan arnab. Arnab memakai ekor merak. Merak memakai ekor arnab.

Alangkah gembiranya arnab apabila mendapat ekor merak. Arnab berlari ke sana dan ke mari. Arnab menari-menari di tengah padang.

Merak pula memakai ekor arnab. Alangkah terperanjatnya merak kerana mendapati dirinya berekor kontot.

Pang! Tiba-tiba terdengar bunyi senapang. Arnab termengah-mengah lari masuk ke dalam hutan. Arnab pergi berjumpa merak
Arnab menceritakan bahawa ia ditembak oleh pemburu. Nasibnya baik kerana tidak terkena peluru pemburu.

Arnab minta semula ekornya. Mereka bertukar ekor masing-masing.


Arnab tidak mahu memakai ekor merak lagi.

"Biarlah ekorku pendek dan tidak cantik, asalkan diriku selamat," fikir arnab.

NILAI MURNI :

Kita haruslah bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita. Setiap kurniaan Tuhan pastilah ada kebaikannya untuk diri kita.

MORAL 5

ayah,anak dan seekor unta

Kisah ini terjadi diperkampungan orang Badwi di padang pasir, di sebuah negeri Arab. Dikatakan dua beranak ini, ayah dan anaknya, ingin pergi ke pekan untuk menjual unta. Maka berjalanlah mereka berdua melalui sebuah kampung.

Selepas melintasi sekumpulan orang kampung, terdengar seorang berkata, "Eh, tengok kedua-dua orang itu! Betapa bodohnya mereka, ada unta tetapi kedua-duanya berjalan."

Mereka terfikir benar juga kata orang itu. Lalu ayahnya berkata, "Hai anakku, kautunggangi unta ini sambil menuju ke pasar!" Lalu anaknya mengikut perintah.

Beberapa ketika, sampailah mereka di sebuah kampung. Terdengar oleh mereka suatu percakapan, "Tengok di sana itu. Zalim sungguh anak itu, membiarkan bapanya berjalan, sedangkan dia sedap-sedap sahaja menunggang unta."

Mendengar kata-kata itu, maka anaknya pun memberitahu, "Hai ayahku, naiklah ke belakang unta! Biar anakanda yang berjalan pula."

Ketika melintasi suatu tempat, mereka mendengar ada orang berkata, "Alangkah zalimnya orang tua itu! Dia menunggang unta, sedangkan anaknya pula dibiarkannya berjalan kaki."
Lalu mereka berdua pun berjalan kaki.

Mereka sampai pula di sebuah kampung, melintasi kawasan orang ramai. Lalu, terdengar suara, "Alangkah bodohnya orang itu! Ada unta berjalan kaki pula, sedangkan unta untuk ditunggangi."

Mendengar kata-kata itu, kedua-dua mereka berfikir, memang ada betulnya.

Maka berkata ayah kepada anaknya, "Silalah naik ke belakang unta! Mudah-mudahan kita berdua tidak dikatakan bodoh oleh orang-orang yang melihat."

Mereka sedar, semua yang mereka lakukan hari itu hanyalah kerana ingin memuaskan kata-kata orang. Apa sahaja yang mereka lakukan, semuanya tidak kena mengikut pandangan orang.

Berkatalah si ayah itu kepada anaknya, "Mulai saat ini, kita jangan mendengar kata-kata orang. Lakukan sesuatu yang kita fikir benar dan berbuatlah sesuatu mengikut apa yang kita fikirkan benar."
NILAI MURNI

Sememangnya begitulah yang sepatutnya kita bertindak. Kita tidak perlu berbuat sesuatu kerana hanya ingin memuaskan kehendak orang lain. Kita hanya perlu mendengar nasihat orang yang tahu masalah kita. Jangan sesekali bertindak kerana ingin memuaskan hati orang lain.


Nilai Moral:
Oleh itu, berhati-hatilah mendengar kata-kata orang. Tidak semuanya benar dan baik untuk kita.

MORAL 6

ANAK KATAK

Pada suatu hari, anak katak puru pergi bersiar-siar di tepi sawah.
Anak katak terjumpa seekor lembu. Anak katak belum pernah melihat lembu. Anak katak berasa sangat takut.

"Wah, besar sungguh haiwan ini!" kata anak katak puru di dalam hatinya.

Anak katak puru terus melarikan diri. Anak katak puru segera pulang.
Anak katak puru memberitahu ibunya,

"Ibu, tadi saya terjumpa seekor haiwan yang sangat besar!"

Namun, ibunya berkata dengan perasaan sombong, "Dalam dunia ini, ibulah haiwan yang paling besar."

"Tetapi haiwan itu lebih besar daripada ibu," kata anak katak puru itu.

Ibunya segera menggembungkan badannya.

"Adakah haiwan itu sebesar ini?" tanya ibunya.

"Tidak! Haiwan itu lebih besar lagi," jawab anak katak puru.

Ibunya mengembungkan lagi badannya.

"Adakah haiwan itu sebesar ini?" tanya ibunya lagi.

"Tidak! Haiwan itu lebih besar lagi," ujar anak katak puru.

Ibunya terus menggembungkan lagi badannya.
"Adakah haiwan itu sebesar ini?" ibunya bertanya lagi.

Anak katak puru menjawab, "Tidak! Haiwan itu lebih besar lagi."

"Sekarang tengok! Adakah haiwan itu sebesar ini?" tanya ibunya lagi.
Ibu katak puru itu pun cuba menggembungkan badannya supaya menjadi lebih besar lagi.

Pop!

Anak katak puru terkejut mendengar bunyi letupan itu.
KATAK PURU DAN LEMBU

Ibu katak puru itu mati kerana cuba menggembungkan badannya supaya menjadi lebih besar. Akhirnya, badannya pecah.
Itulah akibatnya kerana sombong dan ingin membangga-banggakan diri.

NILAI MURNI

Jangan sekali-kali bersikap sombong dan ingin membangga-banggakan diri. Perbuatan ini merupakan akhlak yang buruk. Perbuatan ini akan mendatangkan akibat buruk terhadap diri sendiri.

MORAL 7

Muafakat Membawa Berkat Grin

Pada suatu hari, arnab terjumpa sebuah karung guni. Di dalam karung itu terdapat sayur-sayuran. Arnab ingin makan sayur-sayuran itu. Kemudian datang kambing. Kambing juga mahu makan sayur-sayuran itu. Tetapi arnab tidak mahu berkongsi dengan kambing. Arnab mendapat suatu akal.

Arnab mengajak kambing bertanding. Pertandingan itu ialah menumbangkan tiang pagar. Kambing bersetuju. Kambing berlari kencang. Kambing terus menanduk tiang itu.

Prak! Tanduk kambing patah. "Aduh!" kambing menjerit kesakitan.
Tibalah pula giliran arnab.

Arnab menggali tanah. Tiang itu tumbang menimpa kaki arnab.

Prak! Kaki arnab patah. "Aduh!" arnab menjerit kesakitan.

Arnab berasa menyesal kerana enggan berkongsi makanan dengan kambing. Kedua menyesal dan saling memohon maaf. Selepas itu, Arnab dan kambing pergi ke tempat karung guni itu semula. Tetapi karung guni itu sudah tiada kerana diambil oleh tuannya.

NILAI MURNI

Sikap tamak selalu rugi. Sebaliknya, jika bermuafakat tentulah membawa berkat.

MORAL 8

SOMBONG MEMBAWA REBAH

Di tepi padang, tumbuh sebatang pokok kelapa. Pokok kelapa itu sangat tinggi. Pokok kelapa itu selalu mengejek rumput. "Wahai Sang Rumput, engkau sangat pendek! Aku adalah pokok yang tinggi dan kuat." Setiap hari, rumput selalu diejek oleh pokok kelapa. Namun, rumput berdiam diri sahaja.
Pada suatu hari, datang ribut yang kuat. "Tolong! Tolong!" terdengar suara pokok kelapa menjerit minta tolong. Dum! Terdengar pula bunyi yang sangat kuat. Pokok kelapa itu tumbang. Rumput pun berkata, "Wahai Sang Kelapa, walaupun aku pendek, tetapi ribut tidak dapat menumbangkan diriku!"
Pokok kelapa berasa malu. Pokok kelapa sangat menyesal kerana pernah mengejek rumput. Akhirnya, matilah pokok kelapa itu.

NILAI MURNI


Kita tidak boleh memandang hina pada orang miskin dan lemah. Setiap orang mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

MORAL 9

JADUAL MUSIM BERBUAH

ada lagi satu cerita untuk direnungkan bersama...

Pada zaman dulu kala, pokok buah-buahan tidak mempunyai jadual untuk berbuah. Pokok-pokok ini berbuah ikut rasa hati masing-masing.

Oleh sebab itu, selalu berlaku pertembungan. Akibatnya, buah-buahan yang kurang lazat tidak dimakan oleh manusia.

Kadang-kadang buah rambai berbuah, pokok durian juga berbuah. Apabila mereka berbuah serentak, buah rambai langsung tidak dipedulikan oleh manusia. Mereka asyik makan buah durian sahaja. Buah durian sedap dimakan. Manakala rambai kurang enak. Oleh sebab itu, buah rambai jarang dimakan orang. Akhirnya, buah rambai yang masak ranum gugur begitu sahaja.

Buah rambai amat marah apabila durian berbuah sama musim dengannya.

"Kenapa kamu ikut aku berbuah? tengok, apa sudah jadi? buah aku tidak dimakan oleh manusia. Mentang-mentang kamu diminati," kata rambai.

"Aku mana tahu kamu nak berbuah. Kenapa kamu tak bagi tahu. Kalau kamu bagi tahu aku boleh berbuah lewat sedikit atau awal dari kamu," jawab durian.

Pada suatu masa lain, pergaduhan besar telah berlaku di antara puak durian dengan puak rambai kerana berebut musim berbuah. Banyak puak rambai terkorban akibat ditikam oleh durian. Buah rambai melawan dengan berani walaupun mereka tahu, puaknya tidak bersenjata.

Akhir sekali, pergaduhan besar berlaku. Semua buah yang lain bersatu menentang buah durian. Buah nangka, buah cempedak, buah kelapa, buah salak, buah betik, buah kelubi, buah mangga, dan berbagai-bagai jenis buah lagi campur tangan. Buah durian tidak berdaya lagi melawan kerana semua buah bersatu menyerangnya.

Ekoran daripada itu, buah-buahan itu mengadakan mesyuarat tergempar untuk mengambil giliran berbuah. Semua buah datang berhimpun di tempat mesyuarat.

Mula-mula, buah-buah itu memilih pengerusi mesyuarat. Cempedak mencadangkan supaya kelapa menjadi pengerusinya. Buah rambutan menyokong. Buah-buah lain bersetuju sebulat suara.

Selain itu, mereka harus memilih setiausaha juga. Buah salak mencadangkan supaya betik dipilih.

Setelah dipilih sebagai pengerusi mesyuarat, buah kelapa pun mengambil tempat. Buah kelapa mengucapkan terima kasih kerana majlis memilihnya sebagai pengerusi mesyuarat.


"Saya akan menjalankan tugas saya sebaik-baiknya. Saya harap selepas mesyuarat ini, masyarakat buah-buahan tidak akan bergaduh lagi," kata buah kelapa

Perbincangan pertama mesyuarat hari itu diteruskan. Mula-mula, mereka akan menetapkan musim berbuah bagi setiap pokok supaya tidak berlaku lagi pertindihan musim.

Pada awalnya, semua pokok hendak berbual awal. Mesyuarat hangat seketika apabila masing-masing pokok hendak berbuah awal.

"Saya sepatutnya berbuah awal kerana saya tidak sedap. Durian bila-bila masa boleh berbuah kerana isinya lazat," kata rambai memberi alasan.

"Tuan pengerusi mesyuarat. Saya bukan membantah keputusan mesyuarat. Tetapi masa yang diberikan kepada saya tidak sesuai. Musim banjir. Musim ini semua manusia kalut dan masing-masing asyik mencari perlidungan banjir. Jadi kalau saya berbuah pun, tiada siapa akan pedulikan saya. Tiada siapa akan mengutip saya kerana apabila buah saya gugur, terus dihanyutkan air lalu ke laut," jelas durian.

Alasan durian memang memang munasabah. Jadi, semua buah mesti elakkan diri daripada berbuah pada musim banjir. Mereka boleh berbuah, kecuali bulan pada Januari hingga Oktober sahaja.

Akhirnya, buah kelapa membuat keputusan. Jadual musim dibacakan kepada semua buahan. Setelah jadual itu dibaca, semua buah bersetuju.

Apabila musim berbuah menjelang, rambutan dibenarkan berbuah dulu. Diikuti oleh buah manggis, langsat, dan duku.

Apabila musim itu hampir habis, buah durian bolehlah mengambil giliran untuk memasakkan buahnya. Buah-buahan ini boleh berbunga serentak tetapi terpaksa menunggu giliran untuk masak.

Buah-buah asam seperti limau, mangga, asam jawa, binjai, kuinin, macang, dan salak bebas berbuah pada bila-bila masa kerana mereka tidak menjadi saingan.

"Kita asyik menerima jadual kita berbuah. Tetapi kita telah membelakangkan pengerusi mesyuarat dan setiausaha. Tuan-tuan berdua pula bagaimana?" tiba-tiba buah langsat bertanya.

"Saya sebagai pengerusi mesyuarat dan betik sebagai setiausaha juga tidak menjadi saingan. Oleh sebab itu, bagaimana kalau saya meminta izin majlis untuk saya berbuah sepanjang masa?" ujar buah kelapa.

"Setuju! Setuju! Tetapi bagaimana pula dengan saya? Belum ada jadual," kata rambai. Memang rambai belum menerima jadual berbuah.

"Ya, buah rambai belum menerima jadual! Bagaimana kalau kita bebaskan rambai memilih musim?" tanya kelapa.

"Saya setuju. Saya insaf bahawa saya tidak sedap. Saya tidak begitu diperlukan oleh manusia. Bagaimana kalau saya berbuah pada bulan Ogos atau September, iaitu apabila buah-buah lain habis musimnya?"

Majlis bersetuju dengan permohonan rambai. Oleh sebab itulah rambai berbuah pada akhir musim, iaitu sayup musim. Dengan jadual itu, rambai yang dulunya tidak laku, sekarang sudah dapat menaikkan harganya.

"Ada lagi hal-hal lain?" tanya buah kelapa sebelum menangguhkan mesyuarat.

Buah kelapa kemudiannya bertanya satu demi satu untuk menentukan semua buah-buahan bercakap.

Durian, rambutan, manggis, duku, langsat, mangga, limau, gelugor, kandis, binjai, salak, kelubi, pisang, cempedak, durian belanda, kecupu, dan beberapa jenis buah lain lagi sudah berpuas hati. Mereka hanya menggeleng-geleng kepala apabila ditanya.


"Baiklah! Kalau tidak ada apa-apa, kita tangguhkan dulu mesyuarat ini kepada suatu masa yang akan ditetapkan nanti." ujar buah kelapa. Sebelum berpisah mereka membaca doa. Selepas itu, majlis bersurai.

Mesyuarat buah-buahan itupun berakhir. Selepas mesyuarat itu, buah-buahan itu tidak pernah bermesyuarat lagi. Kononnya, ketetapan yang diambil dalam mesyuarat tersebut masih dipakai hingga sekarang.

Nilai Murni
Begitulah bijaknya buah-buahan. Tidak perlu banyak kali mesyuarat untuk menentukan yang terbaik. Tidak seperti manusia, walaupun sesuatu keputusan diambil dalam mesyuarat, tetapi masih berbunyi selepas mesyuarat. Mesyuarat amat berguna untuk kita mencari kata sepakat yang terbaik dengan menitikberatkan pandangan semua pihak.

MORAL 10

Kisah Pendayung Sampan Dengan Profesor

"Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.

Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang.

Selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm. Hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah
pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

"Hampir seumur hidup saya." Jawab pendayung sampan itu dengan ringkas.

"Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi.

"Ya".

"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.


"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu." Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. "Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya.
Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. "Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?" Professor itu menggelengkan kepala. "Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.


Nilai moral

Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan. Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi..so be humble in everything we do.

0 ulasan:

Post a Comment