Sri Aman bakal menjadi sebuah bandar moden yang lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur canggih melalui perancangan pelan pembangunan baru bandar Sri Aman.
Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, pelan induk mengenai racangan pembangunan mentransformasikan bandar ini kepada bandar moden telah diluluskan.
“Pelan induk pembangunan bandar moden untuk Sri Aman akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat termasuk membangunkan industri pelancongan dan pertanian di kawasan ini.
“Bahagian Sri Aman hari ini jauh lebih maju berbanding pada suatu ketika dulu sehinggakan kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Lubok Antu menganggap seperti ‘dipenjara’ … namun kini semuanya sudah berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2009 Peringkat Bahagian Sri Aman di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) Datuk Hajah Rohani Haji Abdul Karim, Senator Datuk Empiang Jabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Hajah Simoi Peri.
Taib menambah, selain fenomena benak yang menjadi aset tarikan utama dalam menjana industri pelancongan di bahagian itu, tanah yang luas dan subur juga mendorong kerajaan untuk membangunakan pertanian secara komersial di Sri Aman.
“Tumpuan juga diberikan kepada pembangunan sektor perladangan kelapa sawit melibatkan kawasan tanah pusaka seluas 200,000 hektar termasuk 100,000 hektar yang sedia ada di bawah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA),” jelasnya.
Penggunaan jentera moden pula digunakan dalam projek tanaman padi secara komersial di kawasan Stumbin-Bijat di Lingga yang sekaligus dijangka akan meningkatkan taraf hidup golongan petani di Sri Aman, katanya.
Justeru, golongan petani dan masyarakat di bahagian itu perlu bersedia mengubah cara pertanian tradisional kepada komersial yang terbukti lebih menguntungkan.
“Perlantikan Datuk Rohani sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal pertanian di peringkat Persekutuan yang juga wakil rakyat di sini secara tidak langsung memberi peluang dan kelebihan kepada rakyat kawasan untuk meneroka bidang pertanian moden,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis yakin bandar Sri Aman akan mengalami transformasi pembangunan yang lebih pesat mula tahun 2010 kelak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Sri Aman bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.
“Anda boleh lihat bahawa sekarang Stesen Pemerhati Benak, Taman Tebingan Batang Lupar, Bandar Baru Sri Aman dan projek penanaman sawit terhadap 100,000 hektar tanah kini sedang giat dilaksanakan di Sri Aman.
“Jika kesemua projek ini sudah siap kelak maka bandar Sri Aman akan mengalami proses transformasi pembangunan yang lebih hebat mulai tahun 2010 kelak berbanding sekarang,” katanya.
Atas sebab ini Harden telah merakamkan penghargaannya terhadap pihak kerajaan di atas usaha mereka untuk memperhebatkan proses transformasi pembangunan di bandar Sri Aman dan kawasan sekitarnya.
“Projek penanaman sawit misalannya akan memberi impak pembangunan terhadap penduduk di kawasan luar bandar di Sri Aman begitu juga dengan projek pembinaan Stesen Pemerhati Benak serta Taman Tebingan Batang Lupar yang bakal mempertingkat sektor pelancongan di sini.
“Ini tidak termasuk projek Bandar Baru Sri Aman yang sedang giat dibina sekarang. Justeru semua rakyat di Sri Aman harus berterima kasih terhadap kerajaan kerana taraf hidup mereka bakal dipertingkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” menurut beliau.
Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat , ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Bukit Bangunan Mong Dagang, Residen Sri Aman Abang Shamsuddin Abang Seruji.
0 ulasan:
Post a Comment