Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Saturday, May 15, 2010

Situasi Semasa Influenza A (H1N1) 16 Mei 2010

Situasi Semasa Influenza A (H1N1) 16 Mei 2010


Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa penularan Influenza A(H1N1) aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan di seluruh dunia. Justeru, orang awam diminta untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah mencegah penularan H1N1 seperti berikut:

1.
Mereka yang mempunyai gejala influenza like-illness (ILI) seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan supaya TIDAK pergi ke tempat tumpuan ramai. Jika mereka yang bersimptom ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta untuk SENTIASA memakai penutup hidung dan mulut. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain.

2.
Basuh tangan dengan kerap dengan menggunakan air atau sanitiser, terutamanya selepas batuk atau bersin.

3.
Amalkan adab batuk yang baik iaitu dengan menggunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan jangan berkongsi sapu tangan.

4.
Amalkan cara hidup sihat iaitu dengan mengambil diet yang seimbang, kerap bersenam, tidur secukupnya dan minum banyak air.

5.
Elakkan pergaulan rapat dengan mereka yang mempunyai gejala ILI.

6.
Mereka yang mengalami gejala ILI perlu mendapatkan rawatan segera di klinik yang berdekatan.

Mengenai aktiviti harian, sehingga jam 8:00 pagi pada 16 Mei 2010, Kementerian hanya menerima satu (1) laporan kejadian kluster ILI seperti di Lampiran 1.

Sementara itu, sehingga jam 5:30 petang 15 Mei 2010, sejumlah 59 kes disahkan Influenza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,385. Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 595 kes. Daripada jumlah tersebut, 77 kes (12.9%) telah disahkan positif influenza A(H1N1). Sejumlah 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana sembilan (9) daripada mereka mempunyai faktor risiko.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan Influenza A(H1N1) seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi H1N1 kepada kumpulan berisiko, serta langkah-langkah pencegahan, boleh melayari laman sesawang http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 16 Mei 2010

http://h1n1.moh.gov.my/KenyataanAkhbarTerkini.php

0 ulasan:

Post a Comment