Pengetua, Guru Besar tidak cekap
ADNAN IDRIS
Permatang Pauh, Pulau Pinang
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 19 MEI 2010
Akhir-akhir ini sering dipaparkan di dada akhbar mengenai beban tugas guru yang semakin bertambah. Ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa Kementerian Pelajaran dan pucuk pimpinan kerajaan adalah punca segala-galanya. Hakikat ini tidaklah benar semuanya. Ini kerana setiap arahan mahu pun sesuatu bidang tugas yang diturunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah lazimnya melalui pelbagai peringkat kajian atas kewajaran sesuatu tugas itu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah. Beban tugas yang semakin berat dan bertambah seringkali datang dari kerenah Pengetua dan Guru Besar itu sendiri yang tidak cekap dalam memimpin guru-guru di sekolah. Perlu disedari bahawa bukan semua guru merasa terbeban dengan tugas yang kononnya makin bertambah kini. Sebaliknya bebanan tugas ini timbul di sekolah yang dipimpin oleh golongan Pengetua dan Guru Besar yang tidak memiliki kemahiran memimpin dunia pendidikan dengan ertikata yang sebenar. Mengambil contoh, rungutan bahawa guru kini dibebani tugas perkeranian dan pelbagai lagi tugas pendokumentasian. Dalam hal ini Pengetua dan Guru Besar yang harus dipersalahkan kerana mereka yang tidak bijak menghalakan tugas-tugas seperti perkeranian, pungutan data dan pendokumentasian sesuatu dokumen.
Mereka lebih terarah untuk mengarahkan guru-guru melakukan tugas-tugas seperti ini kerana apabila diberikan tanggunjawab ini kepada guru, ia akan selesai dengan baik kerana nilai kecekapan dan kebertanggungjawaban guru adalah tinggi dengan anggapan bahawa sesuatu tugas itu akan selesai dengan baik tanpa risiko kegagalan. Malahan ditambah pula sikap sesetengah Pengetua dan Guru Besar yang meletakkan keutamaan cita-cita peribadi mengatasi kemampuan dan kesediaan organisasi itu sendiri. Maka akan terjadilah guru terpaksa bertugas saban Sabtu tanpa cuti. Guru-guru terpaksa akur kerana di akhir tahun risau akan penilaian Pengetua dan Guru Besar. Dakwat pena Pengetua dan Guru Besar lebih hitam di saat-saat sebegini.Guru-guru seringkali lebih tertekan dan terbeban seandainya organisasi mereka dipimpin oleh Pengetua mahupun Guru Besar yang buta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana semua dokumen perlu disediakan dalam tulisan tangan yang sudah semakin ketinggalan kini. Ini termasuklah terpaksa menyediakan rancangan pengajaran berulangkali dalam sehari sedangkan KPM telah menyediakannnya dengan lengkap segala isi dan huraiannya sekali.
Oleh itu seluruh warga KPM, Kesatuan Guru dan warga pendidik harus merenungi hakikat beban guru yang menjadi sebutan di saat ini. Walaupun pelbagai jawatankuasa ditubuhkan namun semua cadangan tidak terlaksana sehingga ke saat ini.
Thursday, May 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment