Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Saturday, May 15, 2010

Pengorbanan guru

Pengorbanan guru
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2010/05/16

" border="0">




Mazwin (kiri) dan Nur Suhaila meniti jeti usang di Kampung Tanjung Kapor selepas pulang dari SK Bait di Pulau Bait." border="0">

Guru dari SK Pababag di Pulau Pababag terpaksa meredah ombak ketika berulang alik dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke SK Pababag." Mazwin tetap tabah mendidik anak bangsa walaupun terpaksa menempuh ombak setiap kali berulang alik ke sekolah."

Mazwin (kiri) dan Nur Suhaila meniti jeti usang di Kampung Tanjung Kapor selepas pulang dari SK Bait di Pulau Bait.
Terpaksa naik perahu, meredah ombak Laut Sulawesi untuk ke sekolah

ALUNAN ombak Laut Sulawesi di celahan puluhan pulau terpencil di daerah Semporna, Sabah tidak pernah menjanjikan kebahagiaan untuk golongan pendidik dari Semenanjung atau dari wilayah lain.

Pada ketika angin dari pelbagai penjuru mengubah wajah ombak menjadi gulungan ganas menghempas perahu, mahu saja si pendidik meninggalkan pulau terpencil itu untuk pulang ke Semenanjung sambil melupakan khidmat bakti yang harus dicurahkan kepada anak nelayan. Namun, tautan tugas sebagai pendidik menuntut mereka mengetepikan desakan nurani untuk meninggalkan bumi Semporna. Kemurnian tugas mendidik anak bangsa membuatkan mereka harus tabah menghambakan diri kepada tugas meskipun hati terasa berat untuk meneruskan perjuangan membela nasib anak bangsa.

Meskipun terpaksa menempuh ombak Laut Sulawesi untuk menjejakkan kaki di Pulau Bait, kira-kira tujuh batu nautika dari tanah besar di Kampung Tanjung Kapor, Semporna, si pendidik dari pelbagai negeri di Semenanjung tidak mudah mengalah.

Walaupun terpaksa bermandi peluh dan ada ketika kuyup ditimpa hujan ketika perahu mendaki dan menuruni ombak sewaktu berulang alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bait di pulau kecil itu, mereka tidak mudah tewas kepada persekitaran yang mencabar minda dan fizikal.

Pulau Bait, satu daripada 49 pulau terpencil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, tidak pernah menjanjikan jalan berturap, bangunan sekolah diperbuat daripada batu, kemudahan bekalan air bersih, bekalan tenaga elektrik dan pelbagai kemudahan lain yang ada di tanah besar, khususnya di bandar.
Setiap pagi, mulai jam 6, ketika guru di bandar selesa memandu kereta ke sekolah, guru di Pulau Bait terpaksa memperjudikan nasib kepada perahu yang dikemudi penduduk kampung ketika meninggalkan jeti Kampung Tanjung Kapor untuk ke sekolah.

Begitu juga dengan guru di SK Pababag, di Pulau Pababag yang bersebelahan dengan Pulau Bait. Mereka terpaksa menyerahkan ketentuan nasib kepada Allah SWT setiap kali menggunakan perahu dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke pulau terpencil itu.

Dengan perahu menggunakan enjin 15 kuasa kuda, si pendidik berdoa semoga perjalanan berulang alik dari Kampung Tanjung Kapor ke Pulau Bait dan Pulau Pababag sentiasa dirahmati Allah.

Kira-kira 20 minit berada dalam perut perahu ketika meredah ombak ke Pulau Bait dan Pulau Pababag tidak banyak membolehkan mereka berbual dengan rakan-rakan atau penumpang yang lain. Yang ada dalam fikiran mereka hanyalah mahu segera tiba di jeti.

Bagi Ustazah Mazwin Nasir, 27, dari Kampung Jerik, Gua Musang, Kelantan, khabar yang diterimanya pada Januari 2007 bahawa beliau akan ditugaskan di SK Bait, seolah-olah merentap nuraninya.

Pada usia pernikahan baru berusia sebulan, graduan jurusan Usuluddin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu terpaksa meninggalkan suaminya untuk terbang jauh ke Semporna dan menabur bakti di pulau terpencil.

"Saya mula bertugas di sekolah ini pada 29 Januari 2007. Pertama kali menaiki perahu, rasa macam hendak menangis. Macam tak mahu menjadi guru. Ketika itu, ombak besar. Habis kuyup saya ditimpa tempias ombak. Setibanya di jeti Kampung Bait, terpaksa mula meniti jeti kayu licin dan mendaki bukit berlumpur untuk ke sekolah.

"Pengalaman sepanjang menaiki perahu berulang alik dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke jeti Kampung Bait ada kalanya membuatkan saya seolah-olah mahu segera meninggalkan pulau ini. Namun, berkat kesabaran, saya harungi juga ombak Laut Sulawesi ini. Alhamdulillah, sekarang saya sudah biasa dengan ombak," ujarnya.

Bagi rakan serumah Ustazah Mazwin, Ustazah Nur Suhaila Mohamad, 32, dari Kampung Pangkal Kalong, Ketereh Kelantan, pertama kali menjejakkan kaki dalam perut perahu bersama Mazwin membuatkan tekak terasa loya dan kepala berpinar-pinar apabila dibuai ombak.

"Rasa nak muntah mabuk laut tetapi saya tahan juga. Sewaktu dilambung ombak, rasa macam hendak menjerit. Wajah ibu dan ayah terbayang-bayang di depan mata. Namun, inilah cabaran yang harus saya hadapi. Bukan mudah menjadi guru di pulau terpencil macam Pulau Bait," ujarnya dengan segaris senyuman.

Mazwin dan Nur Suhaila yang menyewa rumah di sebuah taman perumahan kira-kira tiga kilometer (km) ke Kampung Tanjung Kapor dan 10 km dari pekan Semporna, memperuntukkan RM60 seorang untuk berulang alik menaiki perahu ke sekolah.

Ketiadaan tenaga elektrik dan bekalan air paip di Kampung Bait tidak memungkinkan mereka menjadi sebahagian daripada kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan.

Selepas tiga tahun menabur bakti mendidik anak nelayan di pulau terpencil itu, kini Mazwin dan Nur Suhaila tidak lagi menganggap ombak yang diharungi setiap hari sebagai bebanan besar untuk meneruskan kerjaya murni membentuk murid berilmu dan bersahsiah.

Cuma pada ketika cuti persekolahan dan Aidilfitri, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama keluarga walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Bagi Mazwin, suami di Bangi, Selangor harus segera ditemui pada setiap musim cuti persekolahan, manakala Nur Suhaila mahu segera menatap wajah ibu dan ayah di Ketereh.

Bagi mereka, ombak Laut Sulawesi, jeti licin di kedua-dua kampung itu, lereng bukit agak curam di laluan dari jeti Kampung Bait ke SK Bait dan titis air masin yang membasahi kulit wajah dan tubuh ketika mengharungi laut adalah teman paling setia selagi pengorbanan mereka dituntut demi masa depan anak bangsa di pulau terpencil.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pengorbananguru/Article/index

0 ulasan:

Post a Comment