'Adakan semula Program Susu Sekolah'
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/05/16
Pembekuan terlalu lama rugikan murid yang perlukan khasiat pemakanan sempurna
KUALA LUMPUR: Persatuan Nutrisi Malaysia menggesa kerajaan memulakan semula Program Susu Sekolah (PSS) yang dibekukan sejak 2007 dalam usaha memastikan pelajar mendapat sumber kalsium yang diperlukan setiap hari. Presidennya, Dr Tee E Siong, berkata pembekuan yang terlalu lama itu hanya merugikan murid sekolah yang memerlukan khasiat pemakanan sempurna demi kesihatan dan tumbesaran mereka. “Program itu seharusnya dimulakan semula kerana susu adalah sumber kalsium utama selain memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi sempurna. Apatah lagi senario hari ini pasangan suami isteri berkerja dan ada kalanya menyebabkan anak mereka tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah.
“Sehubungan itu, saya merayu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran supaya menyambung kembali program ini kerana tumbesaran kanak-kanak memerlukan diet seimbang dan susu adalah antara sumber kalsium yang utama,” katanya sempena pelancaran kempen Bulan Nutrisi Malaysia 2010 di sini semalam.
PSS digantung serta merta pada 2007 berikutan kes keracunan ratusan murid di seluruh negara tidak lama dulu. Bagaimanapun Kementerian Pelajaran berjanji akan memulakan kembali program berkenaan pada Julai 2008, tetapi ia masih belum dilaksanakan.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat diberitahu antara punca PSS masih ditangguhkan adalah disebabkan kegagalan pengilang mematuhi syarat ditetapkan bagi memperoleh sijil ‘Hazard Critical Control Point’ (HACCP).
Dr Tee berkata, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan sepatutnya berusaha mengembalikan PSS kerana ia tertangguh lebih dua tahun. Malah katanya, cadangan menggantikan PSS dengan pemberian susu soya atau telur seperti dicadangkan, juga tidak wajar.
“Pada saya, isunya bukan susu tetapi kaedah penyimpanan bekalan oleh pihak yang bertanggungjawab. Isu ini harus ditangani dan bukan diselesaikan dengan menangguhkan program berkenaan sebegitu lama,” katanya
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AdakansemulaProgramSusuSekolah_/Article
Saturday, May 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment