Hadiah untuk guru
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2010/05/16
TIMBALAN Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika melawat Pameran Expo Pendidikan di Persiaran Perdana, Presint 2, semalam. Turut sama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (kiri). - Foto David Khoo.
KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 guru, termasuk pengetua dan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) serta guru besar dijangka menikmati kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain yang akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Hari Guru peringkat kebangsaan yang disambut di Kuantan, hari ini. Selain itu, pelbagai insentif lain juga dijangka diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran termasuk langkah mengurangkan beban kerja yang selama ini ‘menghantui’ golongan ini. Sumber berkata, kenaikan pangkat yang membabitkan kategori DGA32 hingga DGA54 turut merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, pejabat pelajaran daerah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru.
Katanya, ketika ini guru besar bukan siswazah di sekolah kurang murid kebanyakannya memegang gred DGA32 manakala guru besar di sekolah gred A, DGA34.
“Bagi sekolah menengah, kebanyakan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) berada dalam gred DGA44 berbeza dengan PK Pentadbiran dalam gred DG48. Mungkin ada penyeragaman pangkat di antara mereka,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Sumber itu berkata, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan satu tawaran baru iaitu ganjaran kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.
Selain itu katanya, ganjaran juga dijangka diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah.
Bagaimanapun katanya, Muhyiddin akan memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara berkenaan ketika mengumumkannya.
Sumber itu juga berkata, ganjaran yang diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru pula lebih kepada pencapaian dan prestasi yang dicapai sekolah mengikut ketetapan kementerian.
Mengenai beban tugas guru yang diberikan perhatian serius oleh Muhyiddin, beberapa tindakan juga dijangka diambil. Antara bebanan yang dijangka dikurangkan ialah tugas perkeranian yang sebelum ini menjadi bebanan guru sehingga mengganggu tugas hakiki mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Selain itu, katanya, kursus yang akan dihadiri guru juga akan diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan. Ini bagi mengelak guru yang sama mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan.
Sumber itu berkata, pembahagian tugas di sekolah juga akan diberi perhatian dengan mengagihkan tugas secara adil bagi mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada guru tertentu saja.
Katanya, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan ganjaran untuk mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang bakal dinikmati semua guru selain mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka di kawasan berkenaan.
“Ini bermakna guru yang lama berkhidmat di kawasan pedalaman kemungkinan berpeluang untuk mengajar di kawasan bandar begitu juga sebaliknya,” katanya.
Sumber juga berkata, pengumuman Muhyiddin itu adalah antara 10 perkara yang dibincangkan kesatuan guru dengan Kementerian Pelajaran. Namun, atas dasar penjimatan, beberapa tuntutan tidak dapat dilaksanakan tahun ini.
Katanya, kementerian tidak mungkin menaikkan elaun wilayah walaupun beberapa tuntutan mengenai perkara itu sudah dibangkitkan kesatuan guru beberapa kali.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.
Dasar itu, katanya akan mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar dari segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.
Ketika ini, ada 400,000 guru di seluruh negara, termasuk pengetua, guru besar, penolong kanan serta pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan pejabat pelajaran daerah.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hadiahuntukguru/Article/
0 ulasan:
Post a Comment