Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Tuesday, March 30, 2010

SIP di semua sekolah akhir Mac

SIP di semua sekolah akhir Mac


KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pelajaran akan melaksanakan Program Pembangunan Sekolah (SIP) bermula hujung bulan ini bagi membantu melonjakkan pencapaian semua sekolah di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, SIP mempunyai matlamat jangka panjang bagi membolehkan sebanyak mungkin sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Katanya, melalui SIP juga, permasalahan sesebuah sekolah dapat ditangani secara khusus dan ia akan bermula melalui analisis Toolkit Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) dengan mengambil kira empat elemen utama iaitu kepimpinan, guru, murid, ibu bapa dan infrastruktur.

"Hasil analisis SIT, setiap sekolah akan merangka dan merancang Pelan Pembangunan Prestasi Sekolah masing-masing.

"Pelan pembangunan yang telah dirangka akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang berpusat di kementerian untuk dianalisis bagi menentukan pelan terbaik untuk sesebuah sekolah," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu meminta kementerian menyatakan mengenai strategi yang diambil dalam mencapai sasaran mewujudkan 100 buah SBT menjelang 2012

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan bahawa program pembangunan sedemikian bukannya sesuatu yang baru namun kali ini pihaknya melakukan penambahbaikan dari aspek pelaksanaannya.

Katanya, pada kali ini ia akan menggunakan pendekatan dari bawah ke atas bagi memastikan masalah sebenar setiap sekolah dapat ditangani lebih-lebih lagi ia membabitkan pemantauan sistematik sejajar dengan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.

"Laporan mingguan dan bulanan mengenai prestasi program akan dikemukakan kepada pihak Pemandu untuk dipantau," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, SIP juga akan memberi perhatian khusus kepada sekolah rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, ini kerana kementerian mendapati sekolah terbabit pada masa ini berada dalam kelompok sekolah berprestasi rendah.

Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Muhyiddin berkata, kerajaan bersedia menimbangkan untuk memberi biasiswa selaras dengan amalan meritokrasi kepada pelajar yang berada dalam kelompok paling cemerlang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak juga akan membuat pengumuman berhubung pemberian Biasiswa Nasional yang mempunyai semangat tersebut dalam masa terdekat.

"Tidak berapa lama lagi Perdana Menteri akan umum Biasiswa Nasional, ia akan diambil kira kriteria berdasarkan merit bukan kerana kaum, sesiapa sahaja sama ada Melayu, Cina dan India yang memenuhi kriteria yang terbaik di kalangan terbaik akan menerimanya," katanya.


UTUSAN ONLINE 24 MARCH 2010

0 ulasan:

Post a Comment