Pusat Satelit setiap negeri bagi mencungkil bakat sukan di sekolah rendah
Pusat Satelit setiap negeri
TEMERLOH - Kerajaan merancang membina Pusat Satelit Sukan (PSS) di setiap negeri menerusi Rancangan Malaysia X (RMK-10) bagi mencungkil bakat di sekolah rendah. Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz berkata, kewujudan pusat tersebut penting untuk memberikan sokongan kepada atlet dan jurulatih di akar umbi.
Katanya, PSS berperanan mendedahkan atlet dan jurulatih tentang perkembangan sains sukan, pemakanan dan perubatan yang betul.
''Jika semua atlet sukan mampu mengamal dan memahami sains sukan, pengambilan pemakanan dan perubatan di peringkat awal lagi, kita mampu melahirkan atlet yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.
''PSS berperanan untuk membina ketahanan atlet dari sudut fizikal, mental dan psikologi agar dapat memberikan tumpuan dalam sukan berprestasi tinggi," kata Dr. Ramlan selepas menutup Simposium Sukan Pahang 2010, mewakili Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Dewan Tun Razak dekat sini, semalam.
Selain itu, kata beliau, ibu bapa adalah rakan kongsi dalam pembangunan sukan, terutamanya memberikan sokongan kepada anak-anak mereka agar dapat mengimbangi sukan dan akademik.
Menurut beliau, PSS sudah dimulakan pada tahun 2007 di Kucing, Sarawak, diikuti di Pulau Pinang, Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Bukit Penawar, Johor Bharu, Sabah Pahang dan Kelantan.
Negeri yang luas seperti Sabah, Sarawak dan Pahang akan mempunyai lebih daripada satu PSS.
Bagi menjayakan PSS di setiap negeri, Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan RM2 juta bagi menyediakan infrastruktur, membaiki dan menaiktaraf kemudahan sukan sedia ada di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setiap negeri.
''Dengan menggunakan setiap kompleks atau kemudahan sukan Majlis Perbandaran, ia dapat menjimatkan wang dan juga memanfaatkan pusat berkenaan sebaik mungkin daripada membiarkannya menjadi 'gajah putih'.
''Selain untuk mencungkil bakat sukan berprestasi tinggi, ia juga dapat mengelak mereka daripada terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti menghisap dadah, merempit, meragut dan sebagainya," kata Dr. Ramlan.
Sebagai contoh, kata beliau, daripada 1,500 bakat cilik yang dididik dari umur tujuh tahun, hanya lima peratus sahaja yang akan berjaya dan dipilih ke PSS.
Sembilan puluh lima peratus lagi, walaupun mereka tidak berjaya, tetapi akan terus mengamalkan dan mempraktikkan gaya hidup sihat sehingga dewasa.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE:30 MAC 2010
Tuesday, March 30, 2010
Pusat Satelit setiap negeri bagi mencungkil bakat sukan di sekolah rendah
Dicatat oleh
akulatu
di
4:33 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment