23 April, 2010
Pengetua dan guru besar perlu tingkatkan kredibiliti majukan sekolah
Caption: TAHNIAH...Rahman (kiri) sedang menyampaikan sijil APC kepada Aishah Mohammad (kanan) dari SK Agama Sri Aman sambil disaksikan oleh Walter (tengah) ketika berlangsungnya majlis itu.
SRI AMAN, Khamis (22 April) - Para guru besar dan pengetua digesa agar mempertingkatkan kredibiliti kepimpinan dalam diri masing-masing bagi mendokong transformasi pendidikan negara di masa akan datang.
Wakil Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Haji Abdul Rahman bin Bolhassan berkata peningkatan kredibiliti kepimpinan dalam diri pengetua dan guru besar secara tidak langsung akan mempengaruhi prestasi kerja para kakitangan sekolah bawah seliaan mereka selepas ini.
"Pengetua dan guru besar perlu menunjukkan kredibiliti kepimpinan masing-masing terhadap guru-guru di bawah seliaan mereka dengan bekerja keras untuk menaikkan prestasi akademik murid-murid di sekolah dari masa ke semasa.
"Usaha mereka ini akan dipandang oleh guru-guru berkenaan. Jika kredibiliti kepimpinan mereka diakui maka para guru secara tidak langsung akan mencontohi komitmen pengetua dan guru besar dalam menaikkan pencapaian akademik sekolah," katanya.
Kredibiliti kepimpinan pengetua dan guru besar di sekolah masing-masing menurut beliau juga sekaligus dapat membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mencapai sasaran dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) selepas ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) Bagi Tahun 2009 Jabatan Pelajaran Daerah Sri Aman dan Lubok Antu di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.
Selain itu Rahman juga mahu para penerima APC dari sekolah-sekolah di kawasan Sri Aman dan Lubok Antu untuk terus berusaha bagi mempertingkatkan prestasi kerja masing-masing mula sekarang.
Para penerima katanya haruslah tidak menganggap bahawa pemberian APC hanya sekadar pengiktirafan prestasi kerja masing-masing bagi tahun 2009 namun sebaliknya sebagai penyuntik semangat bekerja untuk diri masing-masing selepas ini.
"Justeru saya berharap agar para guru tidak mudah mengalah dengan cabaran yang mereka terima ketika melaksanakan tugas sebagai seorang guru di sekolah masing-masing di masa akan datang," katanya.
Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Philip Singkek, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Haji Abdul Rahman Muhyuddin dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Rickson Jau.
Seramai 168 orang guru dan kakitangan jabatan pelajaran dari kawasan Sri Aman dan Lubok Antu menerima APC yang berlangsung pada jam 2.30 petang hari ini.
Tamat.
Posted by sriamannews at Friday, April 23, 2010
http://sriamannews.blogspot.com/2010/04/pengetua-dan-guru-besar-perlu.html
Monday, April 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment