Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Monday, September 28, 2009

SRI AMAN (1)

Buaya dan Benak di Batang Lupar; Keunikan Bahagian Sri Aman

Peta pentadbiran Bahagian Sri Aman

Sejarah

Sebelum pengisytiharaan Daerah Betong sebagai sebuah Bahagian yang kesebelas pada 26 Mac 2003, Bahagian Sri Aman mempunyai empat daerah: Daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok serta sembilan daerah Kecil: Daerah Kecil Pantu, Lingga, Maludam, Engkilili, Spaoh, Debak, Pusa, Roban dan Kabong.

Setelah Betong diisytiharkan sebagai Bahagian baru, sekarang bahagian Sri Aman hanya tinggal dengan dua daerah iaitu Sri Aman dan Lubok Antu dan tiga daerah kecil, iaitu Daerah Kecil Pantu, Lingga dan Engkilili.

Bahagian Sri Aman mempunyai keluasan kira-kira 6,184.1 kilometer persegi yang diliputi oleh kawasan tanah rata dan berbukit. Bandar Sri Aman terletak kira-kira 193 kilometer ke timur Bandaraya Kuching

Bahagian Sri Aman mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik seperti Iban , Melayu , Bidayuh , Melanau , Cina

Pejabat Residen Sri Aman secara rasminya ditubuh pada 1.6.1873 dan bertempat di tingkat atas Kubu Alice. James Brooke Crookshank dilantik sebagai Residen pertama Simanggang (nama lama Sri Aman). Kewujudan Pejabat Residen di Simanggang menandakan kekuasaan Kerajaan Negeri di kawasan tersebut ketika itu.

Menurut cerita Simanggang mendapat nama kononnya daripada seorang Pedagang Cina yang bernama Ah Song yang menjual barang keperluan menggunakan perahu di persekitaran penempatan Batang Lupar. Penduduk tempatan memanglah mengguna bahasa tempatan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain.

Dengan demikian pedagang Cina ini juga berusaha menggunakan bahasa tempatan setakat yang termampu. Pada satu hari datanglah seorang Iban dari Batang Ai yang hendak berjumpa dengan Ah Song yang sudah lama tidak berkunjung ke tempat mereka. Lalu bertanyalah seorang Iban tersebut kepada kawan karip Ah Song:

“Dini alai Ah Song” Tanya beliau.

" Udah Si Manggang” jawabnya sambil bergurau.

Dalam bahasa Cina ‘Si’ bermaksud ‘mati’ dan dalam bahasa Iban pula ‘manggang’ (magang) bermaksud ‘semua’. Jadi ‘Si Manggang’ bermaksud sudah ‘mati semua’. Ringkasnya selepas itu apabila mereka hendak berjumpa dengan Ah Song mereka akan memberitahu bahawa mereka hendak ke tempat yang bernama Simanggang.

Bandar Sri Aman Lama

Pemandangan udara di Bandar Sri Aman

Bandar Simanggang ditukar nama dengan secara rasminya kepada Bandar Sri Aman berikutan dengan peristiwa yang bersejarah iaitu Deklarasi Sri Aman. Peristiwa yang berlaku pada 21.10.1973 ini telah menyaksikan termeterainya satu perjanjian keamanan di antara Kerajaan Sarawak dengan pihak Komunis Sarawak, yang menamatkan penentangan bersenjata oleh pihak komunis di sini.

Ekonomi

Pertanian dan perikanan merupakan sektor yang amat penting di bahagian ini kerana bahagian ini tidak mempunyai sumber asli seperti gas, minyak dan sebagainya.

Namun begitu sumbangan daripada sektor perhutanan juga kian berkurangan. Oleh itu kegiatan peladangan kelapa sawit, penanaman padi dan perusahan perikanan darat adalah aktiviti yang amat penting untuk bahagian ini. Jenis tanaman lain yang diusahakan penduduk di sini adalah getah, lada kelapa, Sagu dan koko.

Ladang Kelapa Sawit

Peladangan kelapa sawit mula diusahakan oleh SALCRA di Lubok Antu pada tahun 1976, dan kini pihak SALCRA telah menanam kawasan seluas 11,347 hekta (ha) dalam 4 buah ladang. SALCRA juga telah mengusahakn penanaman getah di kawasan seluas 1053 ha di Skim Penempatan Semula Batang Ai.

Selain itu rancangan untuk memajukan Tanah Adat Bumiputera (NCR) seluas 300,000 ha di Undup dan Bukit Bangunan telah diluluskan. Pihak Swasta juga akan mengusahakan penanaman kelapa sawit di pelbagai kawasan seluas 23,305 ha. Usaha untuk menanam padi dan sago oleh pihak swasta dirancangkan. Sebuah kilang yang mempunyai keupayaan 90MTFFB/HR kepunyaan SALCRA telah pun beroperasi di Lubok Antu .

Empangan hidro elektrik Batang Ai mampu menghasilkan 92 megawat kuasa elektrik bagi keperluan negeri Sarawak

Hidroelektrik Batang Ai

Lubok Antu, Pusat Pentadbiran Daerah telahpun menikmati rangkaian jalan raya yang baik ke bandar-bandar yang lain di Sarawak. Di samping itu bandar ini bakal menjadi sebuah bandar sempadan seperti Tebedu yang akan mengendali aktiviti kawasan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Lubok Antu terletak hanya 16 km dari sebuah penempatan yang dikenali sebagai Badau di Kalimantan. Ini akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi di daerah tersebut. Berdekatan dengan Bandar Lubok Antu terdapat sebuah empangan hidroelekterik yang pertama di Sarawak, Hidroeletrik Batang Ai.

Empangan Hidroelektrik Batang Ai boleh menjana kuasa sebanyak 92 megewatt untuk menampung keperluan elektrik domestik dan disalurkan ke seluruh negeri Sarawak. Perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut telah “menghalau” kemiskinan dan kemunduran daripada mencengkami dan menghantui penduduk di situ.

Kawasan Stumbin/Bigat/Lingga/Banting di Daerah Sri Aman yang meliput kawasa seluas 7,000 ha sedang dikaji untuk penanaman padi dengan kaedah Mechanisation.

Di samping perancangan dan pembangunan pertanian di atas, perusahaan aquakultur sedang juga diusahakan. Di Batang Ai perusahaan pembiakan ikan dalam sangkar telah diusahakan dan pada tahun 2001.

Perusahaan kolam udang harimau juga telah diusahakan di Daerah Kecil Lingga oleh pihak swasta di samping usaha untuk membiak baka ikan Terubok juga terdapat di Lingga.

Pusat Pertumbuhan Desa

Dua kawasan sedang dikaji untuk dicadang sebagai Pusat Pertumbuhan Desa. Kawasan –kawasan tersebut adalah di Nanga Kasit/Engkari di Daerah Lubok Antu dan Seduku/Stumbin/Tanjung Bijat di Daerah Sri Aman. Kalaulah cadangan untuk kedua-dua kawasan ini diluluskan, pembanguanan di pusat-pusat tersebut akan lebih pesat.

Tebingan sungai menjadi tarikan pengunjung khususnya di hujung minggu

Tarikan dan Pelancongan

Pesta Benak

Bandar Sri Aman terkenal dengan fenonema “Benak “satu kejadian semulajadi yang menakjubkan. Benak atau ombak besar yang mengalun membawa air pasang di Batang Lupar boleh dilihat mengikut tarikh catatan ‘paras air tinggi’ di dalam Sarawak Government Almanac. Seiringan dengan fenomena Benak, Pesta Benak telah diadakan di Bandar Sri Aman mulai tahun 2000.

Buaya Ganas-Bujang Senang

Batang Lupar adalah sebatang sungai yang terbesar di Bahagian Sri Aman, ia bukan sahaja terkenal kerana fenomena Benak tetapi juga kerana ia dihuni oleh ‘buaya ganas’ yang dikenali sebagai Bujang Senang. Sejak tahun 1941 Bujang Senang dipercayai telah mengorban 28 nyawa. Walaupun usaha untuk memburu Bujang senang dilakukan, dia tetap bersembunyi di Batang Lupar dan kekal menjadi satu misteri sihingga ke hari ini.

Tinggalan Sejarah

Kubu Alice

Dahulu Kubu Alice dikenali sebagai Kubu James sempena dengan nama Sir James Brooke, Rajah Sarawak yang pertama. Kubu James ini dibina di Sekrang kira-kira lima batu ke hulu Bandar Sri Aman. Selepas Peperangan Beting Maro dan tambahan pula tapaknya di Sekrang sering mengalami banjir, maka Kubu James dipindah ke lokasi yang baru di Bandar Sri Aman pada 1864. Pada Tahun 1870 nama Kubu James ditukar kepada Kubu Alice sempena dengan nama Pemaisurinya Margeret Alice.

Pejabat Residen ditubuhkan pada 1 Jun 1873 dan bertempat di tingkat atas Kubu Alice. Terdapat satu amalan yang amat dipatuhi selama seratus tahun sehingga Sarawak mencapai kemerdekaan melalui penubuhan Malaysia. Amalan tersebut adalah satu teriakan dibuat pada setiap pukul lapan malam apabila Residen hendak makan malam. Anggota keselamatan yang berkawal di situ akan memukul gong tepat jam lapan malam dan jambatan sorong pun di tarik balik. Teriakan mereka:

“Oh Ha! Oh Ha! Oh Ha!”

“Jam sudah pukul lapan. Tangga sudah ditarik. Pintu sudah ditutup.

Orang dari Hulu, Orang dari Hilir, tidak dibenarkan naik ke kubu lagi”

Penempatan semula kubu Alice ke Simanggang telah memperkuatkan lagi kedudukan Raja Brooke di kawasan Batang Lupar kerana ia adalah lokasi yang strategik untuk mengawal pergerakan dari sungai Sekrang dan Batang Ai dan juga dijadikan pusat pentadbiran. Para Pentadbir yang ditempatkan di Kubu Alice terdirilah daripada seorang pegawai tempatan (Native Officer) yang juga ketua tempatan yang berpengaruh di samping setia kepada Rajah dan juga anggota separa tentera.

Pada 1.6.1873 Pemerintah Rajah Brooke telah menubuh tiga Residensi: Residensi Pertama (Bahagian Kuching) Residensi Kedua (Bahagian Sri Aman) dan Residensi Ketiga (Bahagian Sibu). Residensi Kedua telah ditempatkan di Kubu Alice sebagai pejabatnya.Penubuhan Kubu dan Pemerintahan di Simanggang amatlah berkesan untuk menamatkan pemberuntakan di kawasan Batang Lupar. Sehubungan dengan itu dua Perjanjian Damai Dayak yang bersejarah telah pun diadakan pada 4 Ogos 1920 dan juga pada 1 Februari 1924.

‘Benak’ antara produk pelancongan yang terdapat di sini yang telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri

Rumah Sri Aman

Bangunan kedua bersejarah di Bandar Sri Aman adalah Rumah Segi-Lapan dan kemudian namanya diubah kepada Rumah Simanggang dan akhirnya diubah kepada Rumah Sri Aman pada 19.3.1974 sempena dengan Deklarasi Sri. Perjanjian tersebut telah dimenteraikan di bangunan ini. Sebagai memperingati peristiwa tersebut ,bangunan ini dinamakan Rumah Sri Aman.

Pengangkutan

Melalui rangkaian jalan raya yang baik dari Bandaraya Kuching ke Bandar Miri, Bandar Siri Aman boleh dihubungi oleh bandar-bandar lain di Sarawak. Bahagian Sri Aman juga mempunyai rangkaian jalan raya dalaman yang baik yang menghubungkan bandar ini dengan bandar dan pekan lain dalaman bahagian. Dengan rangkaian jalan raya yang baik, pengangkutan darat amatlah penting untuk Bahagian Sri Aman. Pengangkutan air melalui Batang Lupar misalnya, sering menemui pelbagai halangan seperti sungai yang cetik, alunan ombak benak yang merbahaya kepada perahu-perahu.

Pendidikan

Bahagian Sri Aman mempunyai 42 buah sekolah rendah, 6 buah sekolah menengah.

Bandar Sri Aman

Pengecilan kawasan Bahagian Sri Aman disebabkan pembentukan Bahagian Betong akan memudahkan dan mempercepat pembangunan di kedua-kdua bahagian

Bagi Bahagian Sri Aman, Pembangunan Tanah khasnya peladangan kelapa sawit oleh sektor awan dan swasta akan meningkatkan dan merangsangkan pembangunan bahagian di samping boleh menjana aktiviti ekonomik sampingan.

Bandar Sri Aman akan meniknmati kadar pertumbuhan yang agak cepat seandainya Bandar ini tidak lagi di lencongi (by-pass) oleh rangkaian jalanraya utama yang menhubungi Bandar-bandar lain di negeri Sarawak

Meskipun kawasan Bahagian lebih kecil, Pentadbiran dan pengurusan kekal mencabar malahan aktiviti pengurusan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih focus dan berkesan

Jika semua projek yang dicadang dan dirancangkankan dapat direalisasikan dalam jangka masa 10-15 tahun akan datang Bahagian Sri Aman akan menjadi sebuah bahagian yang maju setanding dengan Bahagian-bahagian maju yang lain di Sarawak.

0 ulasan:

Post a Comment