Iklan oleh Nuffnang. Klik untuk maklumat lanjut

Monday, September 28, 2009

SRI AMAN (2)

SRI AMAN: Bandar Sri Aman boleh diiktiraf sebagai bandar bersejarah ekoran pelbagai kejadian berkaitan dengan perjuangan rakyat tempatan menentang penjajah Inggeris dan anasir komunis. Sri Aman yang dulu dikenali sebagai Simanggang, pernah menyaksikan pelbagai rentetan peristiwa berdarah mahupun usaha damai melalui perbincangan untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara. Pada tahun 1843, seorang panglima suku Iban bernama Rentap mengetuai serangan terhadap kubu pertahanan Kubu James yang dibina penjajah Inggeris, James Brooke di muara Sungai Skrang yang terletak sekitar 20 kilometer dari Sri Aman. Walaupun gagal menakluki Kubu James kali ini, tiga pertempuran beliau dengan Brooke dalam tempoh 18 tahun kemudian berjaya mengangkat nama beliau sebagai pejuang Sarawak. Kubu James selepas itu terbiar dan pentadbiran Brooke berpindah ke Kubu Alica yang terletak di pusat bandar Sri Aman dan masih dalam keadaan elok. Kira-kira 14 tahun kemudian, Rentap sekali lagi melancarkan serangan bersama bala tenteranya yang terdiri daripada 3,500 Iban dan 500 Melayu terhadap Brooke di Bukit Sadok yang terletak di sempadan Sri Aman dan Betong. Dalam pertempuran bersejarah itu, Brooke terpaksa berundur dan begitu juga dalam dua lagi pertempuran lain dengan Rentap di lokasi sama pada tahun 1858 dan 1861. Penukaran nama Simanggang kepada Sri Aman pada tahun Oktober 1973, juga berkaitan dengan kejayaan pemerintah negara ini untuk memujuk mereka yang menyertai anasir komunis untuk menyerah diri. Hasil perbincangan secara aman Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakub yang mewakili Perdana Menteri pertama Malaysia, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dengan pemimpin Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku), Bong Kee Chok, berjaya memujuk ribuan anggota komunis untuk menyertai masyarakat. Peletakan senjata komunis ketika itu termaktub dalam Deklarasi Sri Aman yang membawa makna bahawa Sarawak benar-benar bebas daripada ancaman anasir berkenaan. Sejak itu, Simanggang juga dikenali sebagai Sri Aman bagi mengingati peristiwa bersejarah itu. Selain itu, Sri Aman juga istimewa kerana ia tempat tinggal satu-satunya pahlawan negara Sarjan (B) Kanang anak Langkau, yang pernah menerima anugerah tertinggi iaitu darjah kebesaran Pingat Gagah Berani dan Sri Pahlawan.

Bekas perajurit yang berasal dari Kanowit kini menetap di sana bersama enam anak beliau serta cucu. Selain kaya dengan sejarah silam, Sri Aman juga mempunyai daya tarikan lain misalnya fenomena benak iaitu air sungai berombak yang hanya berlaku di beberapa lokasi di dunia. Kejadian alam itu membabitkan ombak sungai setinggi hampir tiga meter itu dapat disaksikan sekitar bulan April setiap tahun. Tempat menarik lain termasuk Taman Negara Batang Ai dan rumah panjang kaum Iban yang dikatakan berusia ratusan tahun. Sri Aman mempunyai banyak daya tarikan terutama dari segi sejarahnya. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengiktirafkan Sri Aman sebagai bandar bersejarah Sarawak. Pengiktirafan itu sesuai seperti mana yang pernah diberi kepada Melaka, selain mampu menarik minat pencinta sejarah tempatan dan pelancong asing. "Lagipun Sri Aman tiada identiti khas seperti bandar lain misalnya Miri yang dikenali sebagai bandar minyak atau Bintulu pula bandar gas asli,"

0 ulasan:

Post a Comment